Cinta monyet: Jangan ikut hati Bersama Fazley Yaakob fazley@hotmail.com CINTA monyet - satu ungkapan yang sinonim dengan perasaan yang sering timbul di kalangan muda remaja apabila nurani meminati atau menyukai seseorang. Apabila ini berlaku, bermulalah masalah yang sering kita perhatikan, terutamanya kemerosotan di dalam pencapaian peperiksaan akibat kehilangan konsentrasi di dalam kelas, mahupun ketika mengulangkaji. Persoalan yang sering diajukan oleh golongan muda remaja; ``Salahkah kami bercinta?'' Jawapan yang ingin mereka dengar dan apa yang sepatutnya diberitahu kepada mereka ialah, tidak salah. Tetapi persoalan yang harus diajukan kembali ialah, Apa betulkah cara anda bercinta? Jatuh hati, satu perasaan yang tidak dapat kita kawal. Tetapi apa yang berlaku selepas hati berbisik, `aku suka padanya!' mestilah dikawal oleh pemikiran yang sihat. Ini bermakna, kekuatan diri kita sendiri yang sebetulnya bertanggungjawab di atas apa yang akan berlaku di dalam kehidupan seharian. Golongan remaja yang terlibat dengan cinta monyet seharusnya bijak mengendalikan perasaan dan tindakan mereka. Kesan serta merta akibat terlalu dibuai perasaan ialah akan berlakunya konflik di dalam diri - di antara hala tuju diri yang sepatutnya dan hala tuju hati yang telah tersasar. Tujuan ke sekolah tidak lagi disulami oleh perasaan ingin menuntut ilmu, sebaliknya terselit perasaan ingin berjumpa pasangan yang pada pandangan mata masing-masing, insan yang bergelar kekasih hati sejati. Apabila ini berlaku, kesan jangka panjang adalah amat serius - tumpuan di dalam pembelajaran semakin berkurangan dan sikap sebenar diri juga akan berubah beransur-ansur. Mana mungkin seseorang remaja itu berjaya di dalam pelajarannya apabila segala tumpuannya terhadap proses pembelajaran dialihkan kepada si dia semata-mata. Persoalan yang kemudiannya akan ditanya; ``Bercinta boleh membantu pelajaran?'' Alam cinta monyet akan menjadi lebih indah jika kita sebenarnya menggunakan perasaan jatuh hati itu ke arah meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah. Apa yang perlu dilakukan adalah cuma mengubah sedikit cara kita mengendalikan kehidupan di alam jatuh hati. Daripada sering berutus nota cinta semata, cuba selitkan juga nota-nota tambahan yang diperolehi untuk hari atau minggu tersebut. Secara tidak langsung, sebenarnya proses bertukar nota cinta menjadi proses bertukar pengetahuan pelajaran. Cara ini akan dapat membantu masing-masing supaya tidak alpa dengan perasaan semata-mata, tetapi turut celik dengan tanggungjawab sebenar sebagai pelajar. Jika inilah yang menjadi matlamat utama di dalam pasangan remaja yang sedang berkasih, tidak ada sesiapapun yang akan mengatakan bahawa bercinta itu salah! Tetapi dengan syarat, bukan setakat berkata-kata manis di bibir, bahkan turut membuktikan dengan keputusan cemerlang seperti mana yang dijanjikan. Tidak kurang juga yang sering bertanya; ``Patutkah kami bercinta di usia remaja?'' Secara amnya, ramai yang akan mengatakan muda remaja seharusnya memberikan tumpuan penuh di dalam pembelajaran. Persoalannya, mengapa masih terlalu ramai remaja yang terpanggil untuk menghirup kemanisan dunia percintaan, sedangkan mereka masih terlalu mentah untuk memahami realiti sebenar alam berkasih-kasihan ini. Sudah menjadi lumrah golongan muda remaja untuk mencuba apa yang berada di sekelilingnya. Perasaan ingin tahu dan ingin mencuba sering mengatasi segalanya. Oleh kerana itulah, kekuatan hati dan pemikiran adalah penting bagi menahan diri dari turut tergelincir. Untuk membina kekuatan diri, pendinding yang paling utama adalah ketaatan pada agama dan juga kedua orang tua. Pesan kedua orang tua akan dapat dituruti sekiranya kita sedar dan tahu akan betapa sayangnya mereka pada anak-anak. Perbuatan yang bertentangan dengan kehendak mereka, akan sendirinya menjadi larangan kepada diri kita. Soal hati sememangnya sukar dimengertikan, namun soal kawalan hati mudah di fahami. Jadi, fikirlah semasak-masaknya sebelum membuat sesuatu keputusan itu dan jangan terlalu mengikut perasaan semata.