PENCAPAIAN DIRI
 

      Badminton merupakan satu sukan yang tidak asing lagi di negara kita. Sukan ini pernah menaikkan nama negara kita            suatu masa dulu melalui pemain-pemain seperti keluarga Sidek, Foo Kok Keong dan lain-lain lagi.Mereka ini menjadi idola saya sejak saya masih kecil. Ini kerana saya sangat meminati sukan ini dan selalu berangan-angan untuk menjadi seperti mereka                                 
        Ketika saya berumur 8 tahun, saya telah didedahkan dengan banyak perkara tentang sukan ini. Sejak dari itulah saya mula berjinak-jinak dengan sukan ini. Saya juga mendapat sokongan yang menggalakkan dari ibu bapa saya. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh dan berusaha gigih untuk mencapai cita-cita yang saya impikan.
        Pada umur saya 9 tahun, buat kali pertamanya saya telah memasuki satu pertandingan. Walaupun saya tidak meraih apa-apa kemenangan, saya tetap berpuas hati kerana saya rasa ia merupakan titik permulaan saya dalam bidang ini. Saya terus berusaha dengan bersungguh-sunguh dan pada tahun berikutnya saya diberi peluang untuk mewakili sekolah pula. Kali ini saya berjaya mendapat tempat ketiga peringkat bawah 12 tahun. Saya mula mewakili negeri ketika berusia 10 tahun dan ini adalah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Saya menimba ilmu dari orang yang lebih berpengalaman untuk mempertingkatkan lagi kemahiran bermain. Saya semakin gigih berlatih tanpa mengenal erti jemu. Pada umur 11 tahun saya telah menjadi juara pada peringkat negeri dan pada tahun berikutnya sekali lagi saya menjadi juara.
       Setelah memasuki  tingkatan satu, saya kurang mendapat pendedahan kerana baru tinggal di asrama. Tetapi setelah dapat menyesuai diri dengan keadaan di asrama, saya mula menonjolkan bakat yang ada dalam diri ini. Bakat saya dapat dikesan oleh pihak sekolah , saya diserapkan dalam Persatuan Badminton Negeri Sembilan . Pada saat ini saya amat bersyukur dan dapat rasakan yang saya akan terus berjaya dalam sukan ini. Hari demi hari saya semakin matang dalam sukan ini. Pertandingan demi pertandingan saya sertai, tetapi pelajaran tidak saya abaikan. Saya mengurangkan tumpuan saya dalam sukan ini ketika saya di tingkatan tiga kerana  memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran dan akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun itu. Setelah selesai peperiksaan PMR , saya kembali meneruskan perjuangan. Saya berjaya menjadi johan acara perseorangan wanita bawah 18 tahun peringkat kebangsaan. Ia merupakan saat - saat manis yang tidak akan saya lupakan.
        Pada tahun 2000,pertandingan terakhir yang saya sertai ialah pertandingan badminton bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah Malaysia dan Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan. Ia merupakan pertandingan terakhir saya sebelum saya menduduki peperiksaan SPM.
        Tahun 2001 merupakan tahun yang paling gembira bagi saya kerana saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia. Di UPM saya mengunakan bakat yang saya ada untuk mewakili UPM selama tiga tahun berturut - turut. Saya telah dianugerahi dengan  Anugerah Perak &  Emas oleh pihak Universiti Putra Malaysia. Ini juga sebahagian lagi kejayaan dalam hidup saya. Saya berharap akan masih dapat melibatkan diri dalam bidang ini walaupun sudah menempuhi alam pekerjaaan dan perkahwinan. Andai kata suatu hari nanti saya tidak lagi melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam bidang ini, saya tidak akan melupakan apa yang pernah saya lalui dan cuba menggalakkan anak-anak saya atau orang yang terdekat dengan saya untuk terlibat dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja dapat menyihatkan badan tetapi juga dapat mengeratkan silaturrahim antara masyarakat di Malaysia.




                           

                                  

                






        

                                                                                                                   

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1