Campur Tangan British di Pahang 1888
Pengenalan
Pahang merupakan sebahagian dari Melaka semasa keagungan Kesultanan Melayu Melaka. Apabila Melaka dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka berpindah ke Johor dan Pahang turut bernaung di bawah Johor. Seorang Bendahara telah dilantik untuk memerintah Pahang sebagai wakil Sultan Johor. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah melemahkan Kesultanan Johor kerana ianya terbahagi dua. Kesempatan ini telah digunakan oleh Bendahara Ali untuk membebaskan Pahang dari Johor pada tahun 1853. Pada tahun 1857, Bendahara Ali meninggal dunia dan pentadbiran di Pahang diserahkan kepada Wan Mutahir dan Wan Ahmad pula dianugerahkan Endau dan Kuantan tetapi Wan Mutahir tidak menunaikan wasiat Bendahara Ali. Keadaan ini telah menyebabkan Perang Saudara (1857-1863) sehinggalah British berkesempatan campur tangan.
Pada tahun 1853, Bendahara Ali mengambil kesempatan untuk membebaskan Pahang dari Johor apabila Johor menjadi lemah. Sebelum dia meninggal dunia, Bendahara Ali berundur ke Lami di Sungai Pahang Tua. Mengikut wasiatnya yang bertarikh 25 Mei 1856, pentadbiran Pahang akan diserahkan kepada putera Wan Mutahir dan Wan Ahmad pula dianugerahkan kawasan Endau dan Kuantan.
Pada tahun 1857, Bendahara Ali meninggal dunia. Wan Mutahir yang dilantik
sebagai Bendahara dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja enggan menyerahkan
Endau dan Kuantan kepada Wan Ahmad sebagaimana yang diwasiatkan. Wan Ahmad yang
diusir dari Pahang telah pergi ke Singapura untuk memohon bantuan British bagi
mendapat kembali haknya. Gabenor Negeri-negeri Selat, Blandell enggan
membantunya kerana ketika itu British mengamal dasar tidak campur tangan di
Negeri-negeri Melayu. Wan Ahmad kemudiannya ke Terengganu dan membuat serangan
ke atas Pahang melalui Kemaman.
Perang saudara Pahang bertambah hebat kerana Wan Ahmad dan Wan Mutahir
mempunyai penyokong-penyokong yang menyokong mereka kerana sesuatu kepentingan.
Sultan Mahmud Lingga yang diturunkan takhta oleh Belanda mendakwa beliau berasal
dari keturunan raja-raja yang memerintah Johor (termasuk Pahang) pada abad
ke-18. Beliau mahu membantu Wan Ahamd dengan tujuan mengembalikan pertuanannya
ke atas Pahang. Apabila bapa saudaranya, Sultan Omar (Terengganu) enggan
membantunya untuk membantu Wan Ahmad, beliau memohon bantuan Siam. Permohonannya
dipersetujui oleh Siam kerana Siam bercita-cita untuk memperkuatkan pengaruhnya
di Terengganu dan mengembangkan pengaruhnya ke Pahang. Pada tahun 1861, Sultan
Mahmud Lingga berangkat ke Bangkok untuk memohon bantuan Siam. Pada Oktober
1862, Sultan Mahmud Lingga tiba di Terengganu dengan angkatan Siam untuk
membantu Wan Ahmad menyerang Pahang. Kehadiran angkatan Siam membimbangkan
British kerana menyedari Siam memang bercita-cita untuk mengembangkan
pengaruhnya di seluruh Tanah Melayu. Kebimbangan British bertambah apabila
tersebar khabar angin mengatakan bahawa angkatan Siam bukan sahaja membantu Wan
Ahmad tetapi juga membantu Sultan Mahmud Lingga merampas takhta Terengganu dari
bapa saudaranya, Sultan Omar. Siam mahu menggulingkan Sultan Omar kerana Sultan
Omar tidak menerima pertuanan Siam ke atas Terengganu. British menghantar
bantahan kepada Raja Mongkut di Siam menegaskan tindakan Siam bertentangan
dengan Perjanjian Burney 1826. Gabenor Negeri-negeri Selat Cavenagh telah
mengarahkan Sultan Mahmud Lingga dan Siam berundur dari Terengganu dan tidak
melibatkan diri dalam Perang Saudara Pahang kerana bimbang penglibatan mereka
akan memperhebatkan lagi Perang Saudara Pahang. Apabila arahannya tidak mendapat
layanan, Cavenagh telah menghantar kapal perang ke Kuala Terengganu dan membedil
Kuala Terengganu pada 4 November 1862. Akibatnya, Sultan Mahmud Lingga dan Siam
kembali ke Bangkok. Tindakan British telah berjaya menghalang Sultan Mahmud
Lingga dan Siam membabitkan diri dalam Perang Saudara Pahang.
Pada mulanya British tidak mahu melibatkan diri dalam Perang Saudara
Pahang dan menganggapnya sebagai masalah dalam negeri Pahang. Selain itu,
British mengamalkan dasar tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Walau
bagaimanapun, British campur tangan dalam Perang Saudara Pahang untuk melindungi
kepentingan British. Tujuan utamanya ialah untuk menyekat pengaruh Siam daripada
merebak ke Pahang. Selain itu, ialah untuk menamatkan Perang Saudara supaya
perhubungan antara Singapura dengan Pahang tidak terganggu. Walaupun British
tidak mengamalkan polisi campur tangan di Negeri-negeri Melayu tetapi telah
terdapat pedagang-pedagang British terlibat dalam perdagangan di Pahang. Mereka
mendesak British supaya campur tangan bagi melindungi pelaburan dan kepentingan
mereka. Desakan diterima kuat oleh British, Syarikat Patterson F. Simons yang
menjalankan kegiatan perlombongan bijih timah di Kuantan. Mereka mendesak Perang
Saudara Pahang telah menjejaskan pelaburan mereka.
Permohonan Wan Ahmad untuk mendapat bantuan Terengganu telah dipersetujui
oleh Sultan Omar. Sultan Omar telah membenarkan Wan Ahmad menggunakan Kemaman
sebagai pangkalan untuk menyerang Pahang. Selain itu, Wan Ahmad juda mendapat
bantuan-bantuan lain dari Terengganu seperti senjata, makanan, tentera dan
sebagainya. Semasa bermulanya serangan Wan Ahmad ke atas Pahang pada Disember
1857, Wan Mutahir telah memohon bantuan Johor. Permohonan Wan Mutahir
dipersetujui oleh Temenggung Ibrahim kerana beliau bercita-cita untuk
mengembalikan ketuanan Johor ke atas Pahang disebabkan sebelum 1853, Pahang
merupakan sebahagian daripada Johor. Keinginan Temenggung Ibrahim untuk membantu
Wan Mutahir juga kerana adanya hubungan kekeluargaan antara mereka di mana
putera Wan Mutahir iaitu Tengku Koris telah berkahwin dengan puteri Temenggung
Ibrahim, iaitu Cik Engku Besar. Hasrat Temenggung Ibrahim untuk membantu Wan
Mutahir di haling oleh British yang bimbang penglibatan Johor memperhebtkan lagi
Perang Saudara Pahang. Selepas Temenggung Ibrahim meninggal dunia pada tahun
1862, Temenggung Abu Bakar yang menggantikannya dengan sokongan British telah
menghantar bantuan Johor kepada Wan Mutahir. Walau bagaimanapun, ketibaan
tentera Johor terlewat kerana ketika itu hampir seluruh Pahang telah ditawan
oleh Wan Ahmad.
Wan Ahmad berjaya menguasai Pahang pada Mei 1863 dan ditabalkan sebagai
Bendahara dengan gelaran Bendahara Seri Wak Raja pada Pktober 1863. Antara tahun
1866-1868, terdapat beberapa percubaan menyerang Pahang oleh putera-putera Wan
Mutahir, Wan Aman, Wan Da dan Wan Abdullah. Walau bagaimanapun, percubaan
tersebut berjaya dihancurkan oleh Wan Ahmad. Pada tahun 1875, Gabenor
Negeri-negeri Selat, William Jervois, telah melawat Pahang dan mendesak Wan
Ahmad menerima seorang Residen British. Permintaan tersebut tidak dipersetujui
oleh Wan Ahmad yang bimbang sistem Residen akan menjejaskan kewibawaan dan
kekuasaannya. Pada tahun 1882, Wan Ahmad menggunakan gelaran Sultan.
Walaupun Wan Ahmad menguasai seluruh Pahang tetapi
masih mempunyai musuh di kalangan pembesar-pembesar yang enggan membayar cukai
kepadanya. Hal ini menyebabkan Sultan Ahmad bercadang untuk menjual
kawasan-kawasan di Hulu Pahang kepada saudagar-saudagar Jerman yang berada di
Pahang.
Tindakan Sultan Ahmad itu amat membimbangkan British kerana mereka tidak
mahu kuasa-kuasa Eropah yang lain bertapak di Negeri-negeri Melayu. Oleh itu,
British cuba campur tangan secara langsung untuk mengekalkan pengaruh dan
kepentingan mereka di Pahang. Hasilnya, Sir Frederick Weld, Gabenor
Negeri-negeri Selat, telah menghantar Frank Swettenham ke Pahang pada tahun
1885. Beliau melaporkan tentang pentingnya untuk melantik seorang ejen British
untuk menjaga kepentingan ekonomi British di Pahang.
Pada bulan Oktober 1887, Sir Frederick Weld berjaya memujuk Sultan Ahmad
supaya menerima seorang ejen British. Hugh Clifford dilantik sebagai ejen
British di Pahang.
Pada bulan Februari 1888, seorang warganegara Inggeris yang berbangsa Cina, Go Hui, telah terbunuh dekat Istana Pekan. Sultan Ahmad enggan bekerjasama dengan British untuk menyelesaikan perkara itu. Oleh itu, Sir Cecil Clementi Smith telah menggunakan kekerasan untuk memaksa Sultan Ahmad menerima seorang Residen untuk menasihati Sultan dan menjaga kepentingan ekonomi British di Pahang. Dengan itu, J.P. Rodger dilantik sebagai Residen Inggeris yang pertama di Pahang pada bulan Ogos 1888.
oleh SP Star
17/04/2001 14:31:02