|
Kandungan |
RENCANA: SONGKRAN DIRAI PENUH SIMBOLIK Air dan fungsinya mensucikan tidak pernah tertinggal daripada amalan
istiadat peradaban manusia. Tanpa mengenal ras, warna kulit dan agama, air terus
menjadi bahan penting dalam kehidupan manusia biarpun kewujudannya kadang-kadang
dipandang rendah. Air terlalu umum sifatnya. Air bukan sekadar membersih, malah
air boleh menjadi bahan penting dalam mengeratkan hubungan sesama insan selain
membangkitkan kesedaran, perasaan sayang dan mungkin rasa hormat. Seperti masyarakat lain yang mengangkat martabat air ke peringkat
paling tinggi, kelompok keturunan Thai atau Siam di Kampung Tasek, Pengkalan
Hulu, Perak juga mempunyai pengertian sendiri mengenai air. Air bagi mereka
bukan sekadar unsur pembersih, malah ia lambang kehormatan diri serta tanda
ketulusan hati. Keheningan pagi di Kampung Tasek yang menjadi tempat bernaung
lebih 1,500 penduduk keturunan Siam warganegara Malaysia, nyata dicemburui oleh
kemeriahan penghuninya yang meraikan Pesta Songkran 1999. Apakah keistimewaannya
Songkran dan bagaimana pula perayaan yang diraikan di Kampung Tasek baru-baru
ini mempunyai kaitannya dengan air? Songkran ialah perayaan menyambut tahun baru mengikut kalender
Siam. Lazimnya Songkran disambut empat hari berturut-turut mulai 10 April setiap
tahun. Bagaimanapun, mengikut perkiraan kalender Buddha, tarikh sebenar tahun
baru ialah pada 13 April. Mengikut amalan tradisi, Songkran disambut dengan
golongan muda memohon maaf serta meminta restu daripada golongan tua iaitu ibu
bapa, guru dan sami. Tiga kelompok individu itu dianggap penting dalam kehidupan
masyarakat Thai yang masih menekankan soal adab, kesopanan dan hormat
menghormati. Sebagai simbol kemaafan, selepas memohon keampunan dan restu,
golongan muda perlu memandikan golongan tua dengan menyiram air bersih yang
dicampur pewangi di atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang
lain. Tetapi, sebelum melakukan semua itu keizinan perlu dipohon bagi mengelak
salah faham selain menunjukkan rasa hormat. Di sinilah akan berputiknya rasa
keakraban, perasaan kasih sayang dan tanggungjawab antara generasi muda dan tua.
Sewaktu dimandikan, golongan tua akan mendoakan kebahagiaan terhadap generasi
muda, anak serta cucu. Mengikut kepercayaan masyarakat Siam, doa golongan tua
yang dimandikan akan termakbul serta menjanjikan kehidupan lebih mulia. Sebaik
saja selesai dimandikan, golongan tua perlu dikenakan pakaian baru dan bersih
sebagai lambang menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan oleh mereka selama
ini. Bagaimanapun, dalam arus pemodenan sekarang, amalan tradisi itu jarang lagi dipatuhi penduduk Thai, sebaliknya memadai dengan meminta maaf serta menyiram air ke tapak tangan dan kaki generasi tua. Penduduk asal Kampung Tasek yang turut mengikuti perkembangan sejarah penduduk Thai di Malaysia, Verak Din Chui, 47, berkata Pesta Songkran diadakan di Kampung Tasek sejak lebih 20 tahun lalu dan ia sudah menjadi acara wajib bagi penduduk kampung. Lebih menggembirakan, acara tahunan itu mendapat perhatian daripada penduduk Thai yang menetap di negeri lain terutama di utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Malah tahun ini, dianggarkan lebih 3,000 masyarakat Thai warganegara Malaysia berkumpul di Kampung Tasek bagi meraikan Pesta Songkran, katanya ketika ditemui. Sumber: Berita Minggu (Ruangan rencana), June 13, 1999. |
|
![]()
|