|
Kandungan |
PESTA SONGKRAN PUPUK PERPADUAN
MERIAH.....Kemeriahan Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah
satu perayaan masyarakat Thai setiap tahun kini turut dirasai oleh
masyarakat negara ini terutama di negeri-negeri utara Semenanjung. Pesta Songkran yang sebelum ini lebih bercorak kebudayaan masyarakat
Thai, semakin diterima dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan
masyarakat majmuk di negara ini. Dalam menghayati semangat tersebut, kerajaan Perlis buat pertama kalinya
memasukkan Pesta Songkran sebagai salah satu acara dalam kalender
pelancongan negeri itu tahun ini. Penduduk Kampung Kubang Tiga, Padang Besar harus berasa bertuah apabila
dipilih menjadi tuan rumah pada pesta yang julung kali diadakan di negeri
itu. (Berita di muka 16) (dari muka 16) PADANG BESAR, 13 April -- Setiausaha Agung Persatuan Siam Malaysia (PSM),
Siw Chun Eam yakin perayaan Songkran (Pesta Air) akan dapat memupuk
perpaduan kental di kalangan kaum di negara ini. Siw Chun berkata, perayaan Songkran kini lebih bercorak pesta kebudayaan
masyarakat Thai yang sesuai dirayakan bersama oleh semua kaum di negeri
ini dengan meriah. Songkran ialah tahun baru Thai pada setiap 13 April atau bersamaan bulan
kelima kalender Thai dan dirayakan serentak di empat negeri Semenanjung
iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Tambahnya, buat pertama kali sebaik sahaja Songkran dimasukkan ke dalam
kalender pelancongan negeri Perlis, Kampung Kubang Tiga dekat sini
terpilih sebagai tuan rumah. Beliau yang mengetuai perayaan Songkran di wat Kubang Tiga di sini hari
ini, berbangga dengan usaha yang dijalankan disertai pelbagai kaum. Ng Chooi Lan, 36, dari Taman Beseri jaya yang pertama kali menyertai
perayaan ini tertarik dengan penyertaan semua kaum penduduk Perlis. Pada
perayaan ini kita dapat bergaul mesra sesama kita rakyat majmuk di negeri
ini, ujarnya. M.
Vanitha, 28, kagum dengan persiapan pesta oleh urusetia perayaan yang
diketuai Siw Chun selaku Pengerusi Persatuan Siam Negeri Perlis. Beliau
percaya usaha pemimpin kaum Thai negeri Perlis akan merealisasikan hasrat
kerajaan memupuk toleransi kaum. Mally Den Tan, 21, berkata, pesta Songkran juga menguji apabila tidak
ada sesiapa yang akan marah apabila pakaian basah kuyup disimbah air atau
muka disapukan bedak. Noorhanan Hassan, 34, berkata, keharmonian akan dapat diwujudkan sekiranya setiap kaum saling menghormati cara hidup dan budaya kaum lain. Beliau yakin pendekatan PSM dapat menjadikan Songkran pesta yang disambut pelbagai kaum. Sumber: Utusan Malaysia, April 14, 2001.
|
|
![]()
|