[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

SAMBUTAN PESTA SONGKRAN MERIAH

PADANG BESAR: Pesta Air atau Pesta Songkran masyarakat Siam bagi tahun 2544 disambut meriah oleh lebih 1,500 penduduk pelbagai kaum di negeri ini di Kampung Kubang Tiga, dekat sini, semalam.

Pesta yang turut dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri, mulai tahun ini dirasmikan oleh wakil Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu Ahli Exco negeri, Datuk Yazid Mat.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Seri Shamsiah Mohd. Yassin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Simpang Empat, Zahari Bakar; Ahli Dewan Negara, Senator Karim Salleh dan Yang Dipertua Persatuan Siam Malaysia (PSM) cawangan Perlis, Siw Chun a/p Eam.

Pada pesta itu pelbagai acara dijalankan, termasuk persembahan tarian singa, tarian, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak tadika, sekolah rendah dan pemilihan warga emas.

Acara kemuncak pada pesta itu ialah menyembur air dan bedak serta pewangi (wangian) oleh kalangan remaja dan belia kaum Siam itu kepada pengunjung pesta berkenaan, termasuk VIP.

Datuk Seri Shahidan, berkata pesta itu berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan yang mampu menarik ramai pengunjung, khususnya pelancong asing ke negeri ini.

Selain itu, katanya, pesta berkenaan juga turut diakui mampu menyumbang ke arah menjayakan usaha kerajaan menyatu serta mewujudkan perpaduan dan rasa muhibbah di kalangan penduduk pelbagai kaum.

Menyedari akan hakikat itulah maka kerajaan negeri telah memutuskan untuk memasukkan acara berkenaan dalam kalender pelancongan negeri, baru-baru ini, katanya.

Shahidan berkata, langkah kerajaan itu adalah bagi memastikan acara yang diadakan itu bukan lagi oleh kumpulan atau persatuan masyarakat minoriti itu, sebaliknya dengan kerjasama kerajaan negeri.

Kita percaya pesta ini (Pesta Songkran) yang diadakan setiap tahun ini berpotensi untuk menjadi satu produk pelancongan jika dirancang serta ditambah dengan input lain yang mampu menarik penyertaan semua kaum dan pelancong.

Lagi pun, setiap kali diadakan, sambutannya cukup meriah, bukan saja membabitkan masyarakat Siam, malah turut disertai oleh masyarakat atau kaum lain di negeri ini, katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri percaya langkah yang sama akan diambil oleh negara jiran, Kedah, Pulau Pinang dan Perak untuk turut memasukkan acara berkenaan dalam kalender pelancongan negeri masing-masing.

Bagi saya, jika pesta suku kaum lain seperti Gawai di Sabah dan Sarawak turut diadakan secara besar-besaran dan mampu diterima oleh kaum lain, maka tidak menjadi masalah untuk turut menerima pesta ini (pesta Songkran), katanya.

Sehubungan itu, beliau turut melahirkan keyakinan akan keupayaan Persatuan Siam Malaysia (PSM), terutamanya cawangan erlis untuk menganjurkan pelbagai kegiatan yang mampu menyumbang kepada perpaduan, kerjasama dan muhibbah di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan akan sokongan dan kerjasama, termasuk menyediakan peruntukan tambahan serta kemudahan diperlukan bagi memastikan kegiatan yang dijalankan itu berjaya

Sumber: Harian Metro (setempat), April 14, 2001. 

on 19-12-02
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.
Hosted by www.Geocities.ws

1