|
Kandungan |
JAMPI SIAM LAWAN JAMPI MELAYU JAMPI adalah ubat orang awam yang tergolong di kalangan mereka yang
tidak mempunyai kesedaran agama dan ilmu yang tinggi. Ia wujud di semua negara.
Topik ini dibangkitkan kerana seorang tokoh jampi Buddha paling terkenal di
Thailand, Luang Phor Khoon Parisuttho mengadakan lawatan selama empat hari ke
Malaysia mulai Isnin lalu. Apa yang menarik ialah Luang Phor Khoon, 77, dianggap oleh para
pengikutnya di Thailand sebagai tokca (sami Buddha) keramat, mempunyai kuasa
magis dan jampinya mampu menyelesaikan pelbagai masalah hidup dan berupaya
mengubati pelbagai penyakit. Luang Phor Khoon yang tiba di Langkawi Isnin lalu
untuk membantu memungut derma bagi Wat Koh Wannaram di Kelibang itu,
bagaimanapun, tidak mengganggap diri mempunyai segala keistimewaan yang
dipercayai para pengikutnya. Selain itu topik ini juga dibangkit bagi melayan kehendak sesetengah
masyarakat Siam di Malaysia yang menuntut penulis membincang mengenai
perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka. Semasa berdialog dengan masyarakat
Siam dalam majlis ceramah UMNO di Wat Thepsuwannaram, Kampung Padang Peliang,
Pendang, Kedah pada 15 April lalu penulis ada berjanji dengan mereka berhubung
perkara tersebut. Penulis percaya pembaca Islam yang sentiasa mengikuti tulisan penulis
boleh mendapat faedah daripada perbincangan ini. Sekurang-kurangnya ia boleh
membantu mereka untuk memahami secara lebih baik tentang masyarakat Siam dari
segi agama dan budaya. Sebenarnya masyarakat Siam di Malaysia yang berjumlah
500,000 orang terbilang daripada golongan bumiputera itu mempunyai banyak
perkara menarik yang belum dibincang dalam mana-mana media kecuali secara
mendatar. Dalam tulisan pertama ini penulis ingin membincang mengenai amalan
keagamaan di kalangan orang Siam di Malaysia terutama yang berkaitan jampi
serapah. Sebenarnya masyarakat Siam di Malaysia tidak begitu berbeza daripada
masyarakat Melayu di negara ini dari segi amalan jampi serapah. Cuma ada
perbezaan sedikit dari segi penghormatan terhadap penjampi. Sebagai contoh
penjampi di kalangan orang Siam di Malaysia sama seperti di Thailand di mana
biasanya adalah tokca (sami), tetapi di kalangan orang Melayu adalah bomoh,
ustaz, ulama dan tok guru. Penghormatan orang Siam kepada tokca, bagaimanapun, melebihi
penghormatan orang Islam terhadap bomoh, ustaz, ulama dan tok guru jampi. Ini
kerana penghormatan orang Siam tidak dilihat pada kebolehan ilmu, tahap
kewarakan dan kedudukan sangha (kesamian) seseorang tokca itu, tetapi pada
pakaian kuningnya itu. Bagaimanapun, penghormatan yang tidak terbatas kepada
tokca ini menimbulkan banyak masalah di Thailand. Penulis ingin memperinci sedikit tentang perkara yang tidak wujud di
kalangan orang Siam di Malaysia ini. Kerana wujud penghormatan sebegitu rupa
menyebabkan ramai orang Siam yang malas bekerja di Thailand menyamari diri
menjadi tokca dengan mudah. Selepas itu tokca-tokca palsu dapat melakukan
perkara-perkara yang tidak baik termasuk memungut derma secara tipu. Tetapi
masyarakat Thai kurang mengambil pusing terhadap apa yang dilakukan oleh
tokca-tokca palsu itu kerana siapa saja yang memakai pakaian kuning yang menjadi
simbol Buddha akan dihormati. Fenomena ini telah merebak ke Malaysia dan Singapura di mana ramai tokca
palsu dari Thailand menjadikan tempat cari makan mereka yang baru sepertimana
sering dilaporkan akhbar Thai. Di Thailand kini terdapat polis tokca yang diberi
tugas khas untuk menangkap tokca palsu dan mengawal tokca hakiki daripada
melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam agama Buddha seperti minum arak,
melakukan hubungan seks dan lain-lain. Polis tokca Thai selalu membuat penangkapan-penangkapan yang
menggemparkan seluruh masyarakat Thailand termasuk penangkapan terhadap beberapa
ketua tokca terkemuka yang didapati terlibat dalam melakukan hubungan seks dan
rogol. berbanding tokca dan ketua tokca yang merosakkan imej dunia sangha (sami)
itu terdapat pula tokca dan ketua tokca berwibawa yang namanya sangat harum di
seluruh Thailand seperti mendiang Phra Buddhadasa Bhikku (bekas ketua Wat Suan
Mok di Suratthani), Phra Phayom Kallyano (ketua Wat Suan Kaew di Bangkok), Luang
Phor Khoon Parisuttho (ketua Wat Ban Rai, Nakhornratchasima) dan lain-lain. Mendiang Phra Buddhadasa yang tergolong daripada pembaharuan ajaran
Buddha di Thailand itu mempunyai pandangan yang sangat positif terhadap agama
Islam. Begitu Phra Phayom Kallyano yang pernah juga dijemput mengadakan ceramah
bersama dengan ulama Islam di Thailand. Manakala Luang Phor Khoon pula merupakan
tokca konservatif yang hampir sama pemikirannya dengan sesetengah tok guru
pondok kampung di kalangan orang Melayu kerana sama-sama mengamal jampi dan
lain-lain amalan yang bukan ajaran pokok agama. Bagaimanapun, Luang Phor Khoon mempunyai keistimewaan yang jarang
terdapat pada kebanyakan pengamal jampi lain termasuk di kalangan orang Melayu
kerana beliau mengembalikan harta benda yang diperoleh melalui amalan jampinya
kepada rakyat. Beliau menggunakan hasil jampi itu untuk membina prasarana negara
seperti sekolah, hospital, rumah orang tua, jalan raya dan jambatan. Dia ikhlas
dan orang baik, kata Sulak Sivaraksa, seorang sarjana Buddha dari golongan
pembaharuan yang tidak sealiran dengan Luang Phor Khoon. Untuk mengetahui betapa hebatnya pengaruh Luang Phor Khoon memadai
disebut di sini bahawa beliau dikunjungi beribu-ribu orang setiap hari dan
adakala jumlah mereka melebihi 10,000 orang. Bagaimanapun, perkara itu berlaku
sebelum negara Thailand dilanda krisis ekonomi tahun 1997. Kini jumlah
pengunjungnya menurun mendadak kerana keperitan hidup yang dialami rakyat Thai
selepas dilandai krisis ekonomi menyebabkan mereka berasa susah untuk membuat
khairat. Kerana sebab itu, lapor akhbar The Nation, Luang Phor Khoon kini
ada lebih banyak masa untuk berehat, beriktikaf dan mentelaah buku agama Buddha
terutama Tripitaka. Dulu beliau kerap duduk selama lebih 10 jam pada satu
tempat tanpa sebarang selangan untuk menjampi para pengikutnya. Orang ramai
membanjiri Wat Suan Rai akan bermula sejak waktu subuh lagi dan berterusan
begitu sehingga ke pukul 10 malam. Kebanyakan penziarah Luang Phor Khoon pula memikul bermacam-macam hayat
seperti orang sakit mahu sembuh dari penyakit, gadis yang belum kahwin mahu
kahwin, orang yang tidak mendapat anak mahu mendapatkan anak dan macam-macam.
Malah ada juga yang mahu minta nombor ekor. Tidak kurang juga yang meminta
sedikit air liur atau air kencingnya untuk dijadikan ubat, lapor akhbar yang
sama. Luang Phor Khoon menjampikan para pengikutnya dengan memukul mereka
beramai-ramai dengan gulungan kertas. Bagaimanapun, Luang Phor Khoon nafi bahawa
beliau ada sebarang kuasa magis untuk menyembuh orang. Saya tiada magis,
tiada kuasa seperti itu walau sedikit Dalam wawancara dengan ITV beberapa tahun lalu, Luang Phor Khoon berkata,
beliau tidak tahu perbuatan beliau memukul orang dengan gulungan kertas boleh
menyembuhkan mereka atau tidak. Beliau mendakwa, beliau terpaksa berbuat begitu
kerana desakan dan permintaan orang ramai. Sedangkan beliau sendiri bila sakit,
beliau pergi ke hospital. Malah beliau pernah melakukan pembedahan jantung pada
tahun 1998. Bagi orang-orang yang minta beliau menjampikan mereka supaya menjadi
kaya, Luang Phor Khoon dalam wawancara sebuah akhbar berkata, saya
memberitahu mereka jika mahu menjadi kaya, maka mereka harus belajar memberi
terlebih dahulu kepada orang lain. Jangan sama menjadi seperti ahli politik yang
hanya tahu mengambil dan tidak memberi kecuali cakap politik. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah jampi yang diamalkan di kalangan orang awam Buddha adalah sama seperti jampi yang diamalkan di kalangan orang-orang awam Islam ini. Penjampi-penjampi Thai dan Islam pun tidak berbeza juga. (Oleh ASTORA JABAT, E-mail: [email protected]) Sumber: Utusan Malaysia, April 27, 2001. |
|
![]()
|