|
Kandungan |
CHARERN SENOTOR PERTAMA MASYARAKAT SIAM TAHUN
1996 paling bersejarah bagi masyarakat Siam. Perjuangan mereka selama ini agar
seorang daripada mereka dilantik ke jawatan tinggi dalam kerajaan telah
dikabulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Tarikh 1
Januari merupakan tarikh keramat buat masyarakat minoriti yang sebahagian
besarnya menetap di utara Semenanjung apabila Perdana Menteri mengumumkan
perlantikan bekas Pengarah Kastam Kedah, Charern Intachat sebagai senator Dewan
Negara. Beliau
yang mewakili suara lebih 50,000 orang Siam di seluruh negara, mengangkat sumpah
sebagai Ahli Dewan Negara hari ini. Sebagai masyarakat yang telah menempuh
ranjau lebih 38 tahun bersama kemerdekaan negara, mereka kini bersedia menerima
jawatan itu yang diumpamakan `hadiah istimewa' atas sokongan yang tidak berbelah
bahagi terhadap kerajaan selama ini. Anak
seorang pembaik basikal dan motorsikal di Kampung Jitra, Charern telah sampai ke
puncak kariernya apabila dilantik sebagai Pengarah Kastam Kedah pada 1989. Namun
kejayaannya tidak berakhir di situ. Semasa ditemui baru-baru ini, Charern
berkata, sebagai orang Siam yang pertama menjadi senator, dia bukan sahaja
menjadi harapan masyarakatnya tetapi juga kerajaan yang memberi kepercayaan
kepadanya. Menerusi
pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ada pada dirinya, beliau berhasrat untuk
meningkatkan kualiti hidup masyarakatnya yang kini dikatakan ketinggalan
berbanding masyarakat lain di negara ini. Katanya, masyarakat minoriti Siam
terpinggir daripada suasana politik negara kerana tiada parti yang mewakili kaum
itu dan kepimpinan politik, tetapi kini mula berubah. Sehubungan
itu, beliau mempunyai tanggungjawab yang besar bukan sahaja untuk masyarakatnya
tetapi juga untuk membantu merealisasikan wawasan murni kerajaan. ``Ini adalah
tanggungjawab yang amat berat. Walaupun begitu, sebagai orang lama dalam
perkhidmatan kerajaan yang telah melalui pelbagai cabaran, saya menerima
pemilihan ini dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.'' Charern
boleh membaca jawi dengan lancar hasil didikan awal di Sekolah Melayu Seberang
Perak, Alur Setar (1947-1952) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat
menengah di Kolej Sultan Abdul Halim, Alur Setar (1953-1959). Ujarnya, jumlah
masyarakat Siam yang tidak banyak dan berselerak di seluruh negara menjadikan
penubuhan parti politik mereka sendiri tidak wajar. Oleh itu, kata beliau,
langkah pertamanya ialah mengajak masyarakat minoriti Siam menjadi ahli UMNO
selaras dengan peluang diberikan oleh UMNO untuk masyarakat Siam menyertainya. ``Di
antara parti politik yang ada sekarang ini, hanya UMNO sahajalah pilihan terbaik
bagi masyarakat Siam. Ini kerana UMNO boleh membantu meningkatkan kemajuan dan
taraf hidup mereka,'' tegasnya. Peluang berpayung di bawah sebuah parti yang
menjadi tonggak kestabilan negara adalah kelebihan yang sukar diperolehi oleh
mana-mana kaum minoriti di negara ini . ``Sekiranya
masyarakat Siam tidak bergabung dengan UMNO, walaupun di kalangan mereka ada
yang menjadi senator, saya percaya kuasa tawar-menawar adalah terlalu kecil,''
kata Ketua Cawangan UMNO Kota Giam Sungai Baru Bahagian Kubang Pasu itu.
Tambahnya, melalui kedudukan barunya beliau berazam untuk meningkatkan taraf
hidup masyarakat Siam terutamanya dari segi ekonomi dan pendidikan. Bagi
melaksanakan usaha itu, Charern bercadang untuk menubuhkan satu jawatankuasa
khas yang terdiri daripada wakil masyarakat Siam dari setiap negeri untuk
menyusun program kebajikan mereka secara keseluruhan. Katanya,
permasalahan utama yang dihadapi oleh masyarakat Siam sekarang ini ialah taraf
pendidikan mereka. Anak-anak kecil masih ketinggalan dalam bidang pendidikan.
Didapati sebahagian besar daripada mereka hanya berpendidikan sekolah rendah.
Tambah Charern, masalah kewangan masih menjadi penghalang kemajuan pendidikan
anak-anak masyarakat Siam sekarang ini. Katanya,
ini kerana hampir 95 peratus masyarakat Siam tertumpu ke kawasan luar bandar di
mana ekonominya berorientasikan pertanian khususnya menoreh getah dan menanam
padi. ``Saya akan memberi tumpuan dalam soal pendidikan supaya mereka melihat
kemajuan negara dengan lebih positif dan turut sama memberi sumbangan serta
menikmati kemajuan itu,'' jelasnya. Oleh
itu kata Charern, bantuan kerajaan terutamanya dari segi pemberian biasiswa amat
diperlukan bagi membolehkan anak-anak masyarakat ini melanjutkan pelajaran ke
peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sekolah teknikal kerajaan dan
sekolah berasrama penuh. Namun
katanya, untuk maju dan mencapai kejayaan dengan cemerlang, masyarakat Siam
tidak sepatutnya hanya bergantung kepada kerajaan tetapi mereka sendiri harus
berusaha untuk berdikari. Sumber: Utusan Malaysia; 14 Mei 1996; m/s 7; Ruangan Rencana oleh Arun Boon Tiang. |
|
![]()
|