[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

JULUKAN SERAMBI MEKAH PATUT DIUBAH SERAMBI SIAM

Saudara Pengarang,

SAYA berpendapat nama julukan Serambi Mekah yang diberikan kepada Kelantan adalah tidak tepat. Lebih tepat sekiranya Kelantan diberi julukan Serambi Siam. Kelantan bukan sahaja jiran terdekat negara Thai, tetapi menurut sejarah negeri Kelantan pernah diperintah oleh kerajaan Siam sebelum dirampas pihak Britian; yang menjajah negeri-negeri Melayu kira-kira 450 tahun yang lalu.

Bukti yang menunjukkan negeri Kelantan merupakan Serambi Siam ialah terdapat tiga patung Buddha yang kedua terbesar di dunia. Patung-patung tersebut bukan sahaja menjadi kemegahan negeri Kelantan untuk menarik pelancong dalam dan luar negara, tetapi turut berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Buddha.

Menurut berita bergambar yang penulis baca dalam Utusan Malaysia pada 30 Julai 2001, patung-patung baring tersebut boleh dilihat di Wat Phothivihan di Kampung Jambu. Yang kedua adalah patung duduk yang terdapat di Wat Siam di Kampung Jabakar. dan yang ketiga adalah patung berdiri, yang terletak di Kampung Terbok. Semuanya di jajahan Tumpat. - IDRIS BAKAR, Taiping.  

Sumber: Utusan Malaysia (Ruangan Forum) pada 8 Ogos 2001 m/s 10


PEGAWAI PERSATUAN BELIA SIAM TERSINGGUNG PENDAPAT IDRIS BAKAR

Saudara Pengarang,

SAYA tidak bersetuju dengan pendapat Idris Bakar dari Taiping yang disiarkan pada 8 Ogos 2001 dalam Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Julukan Serambi Mekah patut diubah Serambi Siam. Walaupun agama rasmi negara kita adalah agama Islam tetapi agama lain bebas dianuti seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia, Idris Bakar tidak wajar mengaitkan mana-mana agama dengan bermotifkan politik untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Sebagai penganut agama Buddha berketurunan Siam, saya kagum terdapat patung Buddha yang kedua terbesar di dunia di Kelantan.

Oleh itu, janganlah jadikan isu patung ini sebagai alat untuk memecahbelahkan masyarakat di negara kita. Pendapat Idris Bakar ini boleh menyinggung perasaan penganut-penganut agama Islam dan Buddha. - MANIT A/L SEE NAM, Penolong Setiausaha Agung, Persatuan Belia Thai Malaysia. 

Sumber: Utusan Malaysia (Ruangan Forum) pada 10 Ogos 2001 m/s 10


IDRIS JELASKAN TUJUAN CADANGAN UBAH NAMA JULUKAN KELANTAN

Ekoran tulisan Idris Bakar mengenai Serambi Siam, Utusan Malaysia menerima banyak surat daripada pembaca sama ada pro atau kontra. Beberapa surat disiarkan, tetapi lebih banyak yang tidak kerana kandungannya hampir sama. Dengan penyiaran surat kedua Idris Bakar sebagai jawapannya kepada tulisan Manit a/l See Nam, isu ini ditutup. - PENGARANG.

Saudara Pengarang,

SEBAGAI penulis surat yang mencadangkan nama julukan Serambi Mekah ditukar kepada Serambi Siam, saya ingin memohon maaf kepada Saudara Manit a/l See Nam, dan semua rakyat berketurunan Siam di Kelantan ataupun di seluruh negara. Saya menulis bukanlah dengan tujuan untuk menyinggung saudara semua dan agama Buddha, tetapi hanya ingin berdakwah kepada para penganut Islam, agama rasmi negara Malaysia, juga Kelantan.

Saudara Manit patut mengambil contoh negara-negara Islam yang tidak membenarkan rakyatnya yang bukan beragama Islam membina rumah-rumah ibadat mereka, seperti patung-patung sembahan yang terlalu besar sehingga melebihi masjid. Kalau mereka membina patung Buddha atau patung-patung sembahan yang lain, seperti yang terdapat di Pulau Pinang, maka itu tidak menjadi masalah.

Tetapi kalau patung-patung Buddha yang terdapat di Kelantan, yang didakwa antara yang terbesar di Asia, sudah tentu tidak kena. Ini kerana, sejak puluhan tahun yang lalu, Kelantan mendapat julukan Serambi Mekah kerana di sana terdapat banyak pondok pengajian agama dan ramai ulama terkenal. Bagaimanapun, dengan adanya patung-patung Buddha yang terlalu besar, yang mampu menarik pelancong-pelancong dalam dan luar negara untuk melawat ke sana, telah merobah pandangan orang ramai terhadap kehebatan negeri Kelantan.

Kalau Saudara Manit membaca sejarah negara Islam yang telah diwujudkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kira-kira 1422 tahun Hijrah yang lalu, Baginda membenarkan bukan Islam yang menjadi rakyat Madinah iaitu penganut Kristian dan Yahudi membina rumah ibadat mereka. Tetapi syarat yang dikenakan ialah gereja dan saumaah (synagogue) mereka mestilah tidak terlalu besar sehingga melebihi masjid, yang menggambarkan seolah-olah negara tersebut diperintah oleh bukan Islam.

Malah semasa baginda dan sahabat-sahabat menawan kota Mekah daripada kaum kafir Quraisy, tugas pertama Baginda adalah memusnahkan kesemua patung dan berhala yang terdapat di sekitar Kaabah dan kota Mekah. Sebabnya, Baginda tidak mahu orang-orang Islam yang lemah iman mereka terus meminta pertolongan daripada patung-patung ciptaan manusia itu.

Penulis membangkitkan cadangan itu sebenarnya hanyalah untuk memberi peringatan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Sekali lagi penulis tegaskan, rencana tersebut ditulis bukanlah dengan tujuan untuk menyinggung saudara dan lain-lain rakyat Malaysia keturunan Siam. - IDRIS BAKAR, Taiping. 

Sumber: Utusan Malaysia (Ruangan Forum) pada 24 Ogos 2001 m/s 

on 19-12-02
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.
Hosted by www.Geocities.ws

1