|
Kandungan |
PATUNG BUDDHA DUDUK TERBESAR DI ASIA TENGGARA DIRASMIKAN
TUMPAT, 16 Sept (Bernama) -- Patung Buddha Duduk
yang terbesar di Asia Tenggara di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar, di sini
dirasmikan dengan penuh kemeriahan bersama upacara keagamaan, dengan disaksikan
ribuan penganut agama itu hari ini. Patung bernilai RM4 juta, yang melambangkan imej
Buddha itu dengan ukuran ketinggian 30 meter, panjang 47.5 meter dan kawasan
dalamannya 22.25 meter, dirasmikan oleh Ketua Sami Dunia dari Bangkok, Thailand,
Somdet Phrak Sangkharat. Ketibaan Somdet di wat berusia lebih 500 tahun
itu pukul 3 petang ini disambut penganut agama itu yang berbaris panjang untuk
memberi hormat kepadanya. Wat Machimmaram terletak kira-kira 20 kilometer dari
Kota Baharu melalui Jalan Wakaf Baharu-Pengkalan Kubor. Somdet mengetuai upacara sembahyang bersama-sama
500 sami dari Malaysia, Thailand, Singapura dan Sri Lanka, di sebuah khemah
kanvas yang didirikan di hadapan patung berkenaan dengan disaksikan ribuan
penganutnya. Upacara sembahyang telah diadakan selama tujuh hari bermula Ahad
lepas dan kemuncaknya pada hari ini dengan proses penyemadian Sarira atau
Hati Buddha ke dada patung itu. Sejak Ahad lepas, ribuan penganut agama itu dari
pelbagai negara telah datang ke wat berkenaan dan mengambil kesempatan
memasukkan sepasang jarum emas dan perak ke dalam sebuah lubang di Hati Buddha
itu dengan hasrat anak mereka yang bakal lahir nanti mempunyai kecerdasan dan
pemikiran yang tajam. Sebagai menandakan perasmian patung itu, Somdet
naik ke atas pentas khas tempat terletaknya Hati Buddha itu dan
memasukkan barang berharga ke dalam Hati Buddha tersebut. Hati Buddha
yang berbentuk kon itu diperbuat daripada gangsa setinggi 1 meter, kemudiannya
ditarik naik ke dada patung berkenaan. Perayaan perasmian patung buddha berkenaan yang
berlangsung sejak 9 Sept lepas telah menyaksikan pelbagai acara keagamaan dengan
kehadiran penganut Buddha kira-kira 100,000 orang. Di perkarangan wat berkenaan
bagaikan pesta kerana terdapat beratus petak premis disediakan untuk menjual
pelbagai jenis barangan, minuman dan makanan kepada pengunjung. Pada sebelah pagi hari ini, pengunjung turut
dipersembahkan dengan tarian 69 ekor singa diikuti tarian enam ekor
naga dan paluan 108 rebana Cina. Malam Cahaya yang berlangsung malam Khamis
lepas, telah mencatatkan sejarah bagi penganut agama itu apabila 25,000 batang
lilin bunga dinyalakan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa sambutan perayaan
itu, Eh Deng Eh Chik, upacara itu merupakan penyalaan lilin yang terbesar di
dunia setakat ini. Pada malam cahaya sebelum ini, selain penyalaan lilin itu,
lebih 100 lampu Gong Ming telah dilepaskan ke udara yang dilakukan oleh
Ketua Sami Wat berkenaan, Phrakhru Withithammanat. Kehadiran ribuan penganut agama itu disifatkan
antara upacara keagamaan Buddha yang paling besar dihadiri di negara ini.
Masyarakat dunia sebelum ini dikejutkan dengan tindakan kerajaan Taliban di
Afghanistan meruntuhkan binaan patung-patung Buddha purba termasuk yang
terbesar di dunia, tetapi perkara seperti itu tidak berlaku di Malaysia. Selain Wat Machimmaram yang menempatkan patung
berkenaan, terdapat 10 lagi wat di sekitar jajahan Tumpat termasuk yang
menempatkan patung Buddha Berbaring yang terbesar di Asia. Eh Deng ketika ditemui Bernama berkata pembinaan
patung itu yang bermula pada 3 Mei 1991, adalah hasil derma masyarakat agama itu.
Beliau berkata upacara perasmian yang bermula Ahad lepas berjalan lancar tanpa
berlaku perkara yang tidak diingini. Pihak polis juga telah memberi kerjasama
penuh untuk menjaga keselamatan serta mengawal kesesakan lalulintas di jalan
berkenaan. Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia, Hui Hai
berbangga dengan imej (patung) Buddha Duduk yang terbesar di Asia
Tenggara itu kerana didirikan di Malaysia. Perasmian yang disaksikan ribuan
penganut Buddha itu turut dilakukan gabungan sami dari luar Malaysia iaitu
Thailand, Sri Lanka dan Singapura, katanya. Beliau berkata sikap toleransi
rakyat Malaysia telah membolehkan patung berkenaan didirikan di negara ini. Beberapa lagi penganut Buddha yang ditemui
melahirkan rasa bangga mereka dengan patung berkenaan yang antara lain menjadi
simbol kebebasan beragama di Malaysia dan percaya ia akan menjadi daya tarikan
baru kepada pelancong dalam dan luar negara ke Kelantan. Eh Chom Eh Kuang, 50, berkata penganut Buddha
suka tinggal di Malaysia kerana dasar kebebasan beragama, dan tidak ada pihak
dari agama lain yang cuba mengganggu penganut Buddha. Kita rasa suka hati
kerana sambutan telah beres, tak ada gangguan, ramai yang datang dalam keadaan
aman, kata beliau dan berharap ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong
ke Kelantan. Sami Niang, 45, pula berkata upacara itu
membuktikan tidak ada sekatan beragama di Malaysia. Tidak ada halangan, di
Malaysia ada undang-undang yang kukuh untuk melindungi kebebasan beragama,
katanya. Tara Singh, 48, pula berkata walaupun Malaysia
mempunyai pelbagai bangsa dan agama, mereka tidak mencemburui amalan beragama
antara satu sama lain. Keganasan tidak berlaku di Malaysia kerana kerajaan
sentiasa memberi keutamaan dalam menjaga keselamatan, katanya. -- BERNAMA pada 16 Sept. 2001 (http://www.bernama.com.my) |
|
|