IKHTISAR AGAMA BUDDHA
oleh
Narada Thera
Pada bulan purnama
dalam bulan Mei, 623 S.M. ,seorang putera Sakya yang bernama Siddhartha
Gotama telah dilahirkan di Kapilavathu yang terletak di sempadan Nepal.
Baginda telah dilahirkan untuk menjadi guru yang paling mulia di dunia
ini.
Semasa baginda
meningkat umur 16 tahun, baginda telah mendirikan rumah tangga, dan telah
dikurniakan seorang putera yang bernama Rahula. Baginda hidup mewah
dalam keadaan aman dan damai selama 13 tahun. Tetapi sifat baginda yang
berbelas kasihan dan suka bertafakur tidak membenarkannya menikmati segala
kemewahan yang terdapat di istananya. Baginda tidak kenal akan kesedihan
tetapi baginda amat terharu dengan penderitaan manusia. Sungguhpun
kehidupannya mewah dan senang, baginda sedar akan penderitaan sejagat.
Istananya yang dihiasi dengan segala barangan duniawi yang menggodakan itu
tidak lagi memikat hatinya, masa sudah sampai untuk baginda meninggalkan
istana. Dengan menyedari hampanya kenikmatan deria yang sangat dihargai
oleh orang biasa, dan nilainya perbuatan menyekat kemahuan diri sendiri
oleh orang alim, baginda pun meninggalkan kehidupan duniawi pada umur 29
tahun. Dengan hanya memakai sehelai kain kuning orang pertapa, beliau
merayau-rayau keseorangan, mencari Kebenaran dan Kesejahteraan.
Beliau mempelajari
dan mendapat nasihat dari guru-guru yang terkenal pada masa itu, tetapi
masih tidak dapat mencapai apa yang dicarinya melalui sumber luar. Cara
hidupnya yang amat sederhana sebagai seorang petapa dibuktikan tidak
berhasil langsung. Keadaan pada masa itu telah memaksanya beralih kepada
dirinya sendiri untuk mencari Kebenaran dari batin. Beliau mencari,
berfikir, dan akhirnya beliau sedar akan Kebenaran yang tidak dipelajari
dari guru-gurunya. Pencerahan tercapai, dengan cahaya ini segala-galanya
telah didedahkan dalam keadaan yang sebenarnya.
Setelah hebat
berjuang selama 6 tahun, tanpa panduan dan pertolongan ghaib dengan hanya
bergantung kepada usaha dan kearifannya sendiri, beliau telah menghapuskan
segala pencemaran dan menamatkan proses loba. Dengan pengetahuan batinnya
beliau berjaya memahami segala-galanya yang dalam keadaan sebenarnya.
Kerana itu, beliau menjadi Buddha, Yang Bercerah, sewaktu berusia 35
tahun.
Sebagai penjelmaan
sifat-sifat mulia yang sempurna beliau mengajar dengan penuh kearifan
sepadan dengan belas kasihannya yang tidak terhingga. Beliau terus-menerus
berikhtiar untuk kebaikan dan kebahagiaan sekalian tanpa niat peribadi
selama 45 tahun dan mencapai MahapariNirvana bila berusia 80 tahun.
Beliau tidak meninggalkan sesiapa pun sebagai pengganti beliau. tetapi
memperingatkan pengikut-pengikutnya supaya menganggap ajaran dan
disiplinnya sebagai guru mereka.
Ciri-ciri seperti
ketabahan hati, kearifan yang mendalam, cinta murni sejagat, belas kasihan
tanpa batasan, kebaktian, penolakan yang istimewa, kesucian yang sempurna,
penghidupan peribadi yang bitara ,teladan-teladan yang berhubung dengan
penyebaran ajaran, dan pencapaian matlamatnya — segala faktor ini telah
mendorong umat manusia untuk menganggap Buddha sebagai guru yang paling
mulia yang pernah memijak kaki pada bumi ini.
Sistem moral dan
filosofis yang dijelaskan oleh Buddha dipanggil Dharma, ataupun ia
lebih dikenali sebagai Buddhisme. Sebenarnya, Buddhisme bukanlah satu
agama kerana ianya bukan sistem kepercayaan dan pemujaan yang menumpukan
taat setia kepada Tuhan yang sakti. la adalah suatu pelajaran yang
membimbing seseorang penganut ke arah pencapaian Kearifan Agung dan
pembebasan dari segala kejahatan melalui hidup dan pemikiran yang suci.
Di sini,
kepercayaan secara membabi buta diketepikan dan digantikan dengan
keyakinan yang berdasarkan kepada pengetahuan. Walaupun seseorang mencari
tempat perlindungan dari Buddha yang dijadikan panduan dan Gurunya, dia
tidak merendahkan diri sendiri sebagai hamba. Seseorang penganut agama
Buddha bukanlah hamba kepada mana-mana kitab atau individu. Tanpa
menyerahkan kebebasan untuk memikir, dia mempergunakan keazaman untuk
memperkembangkan kearifannya hingga dia sendiri mencapai Kebuddhaan,
kerana semua hidupan berpotensi menjadi Buddha. Sudah tentu
penganut-penganut Buddha menyanjunginya sebagai pihak berkuasa, tetapi
Buddha tidak menuntut milik kuasa ini. Kesedaran yang langsung menjadi
kriteria kebenaran yang tunggal dalam Buddhisme. Idea utamanya ialah
pemahaman yang rasional.
Walaupun di kalangan
penganut Buddha, bunga dan lain-lain dipuja kepada Buddha sebagai tanda
penghormatan, tetapi Buddha tidak disembah sebagai Tuhan.
Sewaktu hidupnya,
Buddha amat disanjung tinggi tetapi beliau tidak menuntut sifat ketuhanan
bagi dirinya. Beliau seorang manusia, seorang manusia yang luar biasa.
Walaupun demikian, haruslah dinyatakan bahawa tidak pernah wujud seorang
Guru yang "begitu menyerupai tuhan tetapi tidak bertuhan seperti Buddha".
Hal penghormatan kepadanya tidaklah begitu ditegaskan oleh Buddha
berbanding dengan kepatuhan kepada ajarannya. Nasihat Buddha, "Barang
siapa yang mengamalkan ajaran saya menghormati saya dengan ikhlasnya."
Tambahan,
bersembahyang untuk memperoleh cita-cita duniawi serta kepentingan diri
adalah bertentangan dengan Buddhisme. Sebaliknya, Buddhisme menegaskan
meditasi sebagai cara untuk mencapai disiplin diri, pengawalan diri,
penyucian dan pencerahan.
Dalam Buddhisme tidak
terdapat Tuhan Pencipta yang patut dipatuhi dan ditakuti oleh penganutnya.
Buddha telah meningkatkan status manusia dengan tidak mengajarkan
kewibawaan Tuhan kepada manusia. Buddhisme mengajar bahawa setiap orang
dapat menyelamatkan diri tanpa bergantung kepada Tuhan atau orang tengah
seperti paderi-paderi. Buddhisme tidak mengajarkan apa-apa dogma yang
harus seseorang itu menerima tanpa menyoal walaupun penerimaan sedemikian
adalah bertentangan dengan pengetahuannya. Buddhisme juga tidak mengajar
sistem kepercayaan yang berpandukan penerimaan tanpa bertaakul. Selain
itu, seseorang yang ingin mengamalkan Buddhisme tidak payah melakukan
upacara-upacara yang karut atau membuat pengorbanan yang sia-sia.
Karl Marx menyatakan
bahawa "Agama adalah roh yang wujud dalam keadaan yang tiada roh, adalah
hati di dalam dunia yang tiada berhati, adalah candu kepada umat manusia".
Berdasarkan kenyataan ini, Buddhisme tentulah bukan suatu agama. Tetapi
jikalau ertinya agama itu adalah suatu sistem pelepasan dari kejahilan
hidup, maka Buddhisme adalah dianggap sebagai agama.
Asas Buddhisme
termaktub di dalam Empat Kebenaran Mulia yang bersangkutan dengan apa yang
dikenali sebagai kehidupan. Buddha telah menyatakan "Saya
mengisytiharkan bahawa di dalam tubuh badan ini, dengan adanya tanggapan
dan fikiran, wujudlah dunia, permulaan dunia, penamatan dunia dan jalan
yang membawa kepada penamatan dunia". Kata-kata yang menarik ini
sebenarnya merupakan Empat Kebenaran Mulia yang telah disedari oleh Buddha
dengan pengetahuan batinnya. Kebenaran-kebenaran itu wujud tidak kira sama
ada Buddha-Buddha ada atau tidak, yang akan terus berkekalan dengan masa.
Hanya Buddha yang boleh mendedahkan kebenaran-kebenaran ini kepada dunia
yang jahil. Demi kesedaran Kebenaran-kebenaran ini, Buddha tidak terhutang
budi kepada sesiapa pun kerana Kebenaran-kebenaran itu tidak diketahui
sebelumnya. Jadi, tiada asas untuk mengatakan bahawa Buddhisme adalah
pertumbuhan dari agama Hindu, walaupun kedua-dua agama mengamalkan
doktrin-doktrin asas yang sama. Ini adalah kerana doktrin-doktrin
itu mematuhi Kebenaran Abadi, atau Dharma.
Kebenaran Mulia Yang
Pertama adalah berkenaan dengan Dukkha yang bermakna penderitaan.
Kepada seseorang yang dapat memahami secara mendalam, segala hidup
merupakan penderitaan.
Semua manusia
tertakluk kepada kelahiran, dan seterusnya keruntuhan, penyakit dan maut.
Tiada sesiapa pun boleh dikecualikan daripada keempat-empat punca
penderitaan ini. Kemahuan yang tidak tercapai juga merupakan penderitaan.
Secara ringkas, tubuh badan kitalah punca penderitaan.
Kebenaran Mulia
Pertama mengenai penderitaan yang berkaitan dengan unsur-unsur hidupan
serta fasa-fasa hidup yang berlainan patut dianalisis dan diperiksa secara
teliti. Peperiksaan ini akan membawa kepada pemahaman betul tentang diri
sendiri.
Sebab musabab
penderitaan ini ialah Kehasratan atau Perpautan yang merupakan Kebenaran
Mulia Yang Kedua. Kehasratan ini merupakan suatu daya akal fikiran yang
kuat yang sudah terpendam pada diri kita semua yang menjadi punca segala
fenomena yang mencapah dan beraneka ragam. Secara tidak langsung,
Kebenaran ini menguasai kelahiran-kelahiran lampau, sekarang dan yang akan
datang.
Pandangan benar
mengenai Kebenaran Mulia Pertama akan membawa kepada penghapusan
Kehasratan, dan Kebenaran Mulia Kedua ini menguasai sikap mental manusia
biasa terhadap objek-objek deria yang luar.
Kehasratan ini,
mahupun dalam bentuk kasar atau halus, mengakibatkan kelahiran dan
kematian yang berulang-ulang dan merupakan punca segala kejahilan hidup,
ia hanya boleh diatasi dengan berpandukan Jalan Mulia Lapan Lapis.
Kebenaran Mulia
Ketiga berkenaan dengan penghentian penderitaan secara langsung, yang
tercapai apabila segala bentuk kehasratan sudah dihapuskan. Inilah
Nirvana, puncak pencapaian dalam Buddhisme, dan ia boleh dicapai oleh
sesiapa pun dalam hidup ini sekiranya dia bertulus ikhlas dalam usahanya.
Kebenaran Mulia Ketiga ini walaupun bergantung kepada diri sendiri, adalah
jauh dari taakulan logik dan bersifat-bukan duniawi, tidak seperti
Kebenaran Mulia Pertama dan Kedua, yang bersifat duniawi. Ini sesuatu
kesedaran yang tulen —suatu Dharma yang mesti difahami melalui mata
mental, dan melalui peninggalan hidup duniawi dengan sepenuhnya. la tidak
bermakna meninggalkan objek-objek luaran sahaja tetapi sebenarnya bermakna
meninggalkan perbuatan yang timbul di batin terhadap dunia luar. Harus
dijelaskan di sini bahawa cuma penghentian penderitaan atau pembinasaan
kehasratan itu bukan Nirvana. Kalau tidak. Nirvana hanya
bererti kemusnahan. Tetapi sebenarnya, Nirvana adalah suatu keadaan
yang positif dan bukanlah suatu keadaan yang fana. Di dalam Nirvana,
tiada sesuatu pun yang dimusnahkan kerana Buddhisme menafikan sesuatu roh
yang kekal atau Atma. Merujuk kepada Nirvana, Buddha berkata,
"Wujud keadaan yang tanpa dilahirkan, tanpa berasal-unsul, tanpa
dibentukkan dan tanpa bersyarat. Kalau sebaliknya, tiada wujud keadaan
yang tanpa dilahirkan, tanpa berasal-unsul, tanpa dibentukkan dan tanpa
bersyarat, maka tidak mungkinlah suatu pelepasan itu wujud bagi seseorang
yang dilahirkan, berasal-usul, dibentukkan dan bersyarat.
Kebenaran Mulia
Ketiga mesti dicapai dengan cara memajukan Jalan Mulia Lapan Lapis, iaitu
Kebenaran Mulia Keempat, yang merupakan Jalan Tengah ( Majjhima
Patipada ). la terdiri daripada Fahaman Benar, Fikiran Benar,
Pertuturan Benar, Perbuatan Benar, Rezeki Benar, Usaha Benar, Kesedaran
Benar dan Tumpuan Benar. Segala ini merupakan daya-daya moral akal yang
sungguh berkuasa yang dikumpulkan untuk menentang satu daya jahat yang
terpendam —Kehasratan. Jalan Tengah ini, yang mengandungi sifat-sifat
Sila, Samadhi dan Bhavana, adalah terkandung maknanya di
dalam rangkap pendek di bawah:
Menghentikan segala
kejahatan,
Mengerjakan kebaikan,
Membersihkan fikiran
diri sendiri,
Inilah nasihat semua
Buddha.
Kebenaran Mulia
Pertama, Kedua dan Ketiga berkenaan dengan falsafah ajaran Buddha
manakala Kebenaran Mulia Keempat adalah mengenai pengamatan yang selaras
dengan falsafah tersebut.
Buddhisme bukanlah
suatu falsafah biasa yang mengemukakan teori-teori yang tidak sesuai bagi
seseorang itu melepaskan diri daripada penderitaan dan maut. Malahan ia
bukan suatu sistem moral biasa, yang walaupun perlu, hanya merupakan tahap
amalan Buddhisme yang terendah sekali. Dharma-Buddha ialah suatu sistem
moral dan filosofis yang telah diasaskan berdasarkan kenyataan-kenyataan
yang telah diuji dan disahkan melalui pengalaman individu. Jadi Buddhisme
adalah rasional dan praktis dan tidak mempunyai ruang bagi doktrin-doktrin
esoterik, paksaan, seksaan dan kelampauan. Bolehlah dikatakan bahawa sejak
permulaan Buddhisme 2500 tahun dahulu, tiada setitis darah pun yang
tertumpah atas nama Buddhisme. Malahan tiada sesiapa pun yang telah
menganuti agama ini secara dipaksa. Buddhisme kaya dengan semangat
toleransi yang dikembangkan kepada manusia dan juga setiap hidupan yang
lain.
Di dalam catatan
sejarah dunia ini, Buddha merupakan manusia yang pertama sekali cuba
menghapuskan keabdian. Beliaulah yang telah menentang dengan ketabahan
hatinya mengenai keburukan sistem kasta yang telah menghalang kemajuan
umat manusia. Dengan tidak mendiskriminasikan kasta, warna kulit dan
pangkat, beliau telah menubuhkan suatu sistem Sangha yang berpandukan
sistem demokrasi bagi kaum lelaki dan wanita yang layak. Buddhalah
yang telah menyedarkan kaum wanita tentang kepentingan mereka kepada
masyarakat. Beliau jugalah yang telah mengharamkan pembunuhan
binatang-binatang untuk dikorbankan. Beliau telah menggalakkan
pengikut-pengikutnya supaya mengembangkan perasaan Metta atau kasih
murni kepada semua hidupan. Hanya dengan perasaan Metta dalam
Buddhisme sahaja yang akan berjaya memecahkan segala halangan yang
menggalakkan pemisahan. Seseorang Buddhis tidak membezakan antara yang
jauh dan yang dekat. Baginya, tiada musuh atau orang asing dan tiada
pengkhianat atau pariah. Ini adalah kerana cinta sejagat yang disedari
melalui kefahamannya telah mewujudkan suatu tali persaudaraan di kalangan
semua hidupan. Buddhis yang benar adalah rakyat negara dunia ini.
Jadi Buddhisme
adalah unik disebabkan sifat-sifatnya yang rasional, yang praktis, yang
mujarab dan yang sejagat. Buddhisme merupakan kuasa penggabungan yang
paling mulia dan merupakan satu-satunya alat yang boleh menolong
melepaskan dunia ini dari penderitaan.
Selain daripada Empat
Kebenaran Mulia yang menjadi intisari Buddhisme, Karma dan
Kewujudan Semula membentuk dua tiang asas ajaran Buddhisme yang saling
bertindakan, walaupun kedua-dua konsep ini sudah menjadi kepercayaan urnum
di India sebelum Buddha, tetapi beliaulah orang yang telah menerangkan dan
merumuskan konsep-konsep itu secara lengkap yang mana kita fahami
sekarang.
Karma
ialah hukum moral mengenai sebab dan akibat. Erti Karma yang
muktamad ialah niat moral dan tidak moral ( Kusala akusala cetana
). la merangkumi perbuatan lalu dan perbuatan sekarang. Jadi bolehlah
dikatakan bahawa kita adalah akibat perbuatan kita yang lalu dan apa yang
kita akan jadi nanti bergantung kepada apa yang kita lakukan sekarang.
Namun demikian, patutlah dikatakan lagi bahawa kita bukan hasil sepenuhnya
dari apa yang kita lakukan dahulu, dan juga apa yang kita akan jadi nanti
tidak bergantung sepenuhnya kepada perbuatan kita sekarang. Adalah jelas
bahawa masa sekarang merupakan akibat dari masa lalu selain menjadikan
punca bagi masa depan, tetapi ia bukanlah selalunya satu petunjuk yang
benar bagi kedua-duanya masa lalu dan masa depan, begitulah kompleks
maksudnya hukum Karma. Berasaskan apa yang kami lakukan, pada hidup
ini atau pada hidup kelak akan kami memperoleh hasil. Apa yang kami
memperoleh sekarang adalah apa yang kami telah lakukan sama ada pada masa
lalu atau pada masa sekarang.
Karma
adalah suatu hukum yang bertindak di dalam lingkungannya yang tersendiri
tanpa dikuasai oleh pengaruh luar. Hukum ini menerangkan masalah
penderitaan, misteri mengenai kuasa takdir yang wujud dalam kepercayaan
agama lain, kelahiran bayi yang bijak bistari, dan lebih-lebih lagi
menerangkan ketidaksamaan umat manusia.
Kewujudan semula
merupakan korolari Karma. Keunggulan Bodhisatta dan doktrin untuk
mencapai Kesempurnaan adalah berdasarkan kepercayaan Kewujudan Semula.
Karmalah yang menentukan kewujudan semula, Karma yang lalu
menentukan kelahiran kini dan Karma kini bergabung dengan Karma
yang lalu akan menentukan keadaan masa hadapan. Kebenaran mengenai peranan
Karma dalam masa kini tidak perlu dibuktikan lagi kerana ia telah
pun jelas. Manakala bukti untuk masa-masa lalu bolehlah diperoleh daripada
ingatan dan laporan. Untuk masa depan pula, bukti diperoleh daripada
penarikan kesimpulan.
Doktrin Buddhisme
mengenai kewujudan semula patutlah dibezakan dari teori mengenai kelahiran
semula dan penjelmaan jiwa yang wujud dalam sistem-sistem yang lain. Ini
disebabkan Buddhisme menafikan wujudnya suatu roh kekal yang boleh
menjelma, sama ada dicipta oleh Tuhan ataupun ia timbul dari satu
Paramatma.
Buddhisme
membahagikan hidupan kepada nama dan rupa yang sentiasa dalam keadaan
berubah. Seluruh proses mengenai fenomena mental dan fizikal yang selalu
timbul dan lenyap, kadang-kadang dipanggil oleh Buddha sebagai Atta
atau diri. Walaupun demikian ini adalah suatu proses dan bukan suatu
identiti yang diistilahkan.
Buddhisme tidak
menafikan kewujudan keperibadian yang ketara. Ia menafikan kewujudan
suatu hidupan yang muktamad dan tidak berubah atau entiti yang kekal,
tetapi ia tidak menafikan suatu keadaan yang berterusan dalam proses itu.
Istilah filosofis Buddhisme bagi individu ialah Santati, yakni
perubahan yang sentiasa berterusan . Keadaan berterusan mental dan
fizikal yang ditentukan oleh Karma ini tidak mempunyai permulaan
ataupun pengakhiran kecuali melalui pengamatan Jalan Mulia Lapan Lapis.
Ajaran Buddha ini menggantikan konsep ego yang kekal atau roh abadi dalam
sistem-sistem agama yang lain.
Sebagaimana yang
dinyatakan oleh T.H. Huxley, “ Buddhisme adalah suatu sistem yang tidak
mengenali Tuhan (mengikut fahaman orang Eropah), dan menafikan bahawa
manusia mempunyai roh. Buddhisme menganggap konsep keabadian sebagai suatu
kesilapan, dan menolak kemujaraban amalan-amalan sembahyang dan
pengorbanan. Sebaliknya ia menggalakkan manusia untuk berdikari dalam
usaha menyelamatkan diri sendiri. Walaupun Buddhisme tidak memakai taktik
sumpah kepatuhan atau mendapatkan bantuan daripada pihak diraja, ia telah
berjaya disebarkan ke sebahagian besar dunia ini dengan pesatnya dan masih
merupakan pengaruh yang kuat kepada sebilangan besar umat manusia.”
|