[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

Sejarah hidup Phrakhru Sunthorn Prajanad

Latar belakang Phrakhru Sunthorn Prajanad

Nama asal Phrakhru Sunthorn Prajanad ialah Tiew Ah Hock. Nama bapanya ialah Tiew Ah Lai dan ibunya bernama Nang Keaw. Bapa beliau berasal dari wilayah Hokkien, negara China sementara ibunya berasal dari Kampung Lamdin, Kedah. Beliau dilahirkan pada 3 Mac 1903, hari khamis (Rem 2, Dean 4, Pi Thok) di Mukim Pendang, Daerah Pendang, Kedah. Beliau mempunyai 8 orang adik-beradik dan beliau adalah anak yang ke 5. Antaranya ialah:

  1. En. Tiew Ah Kee
  2. En. Tiew Ah San
  3. En. Tiew Ah Choo
  4. Pn. Siew
  5. Phrakhru Sunthorn Prajanad (Tiew Ah Hock)
  6. Pn. Sua
  7. En. Tiew Ah Leng
  8. En. Tiew Ah Kui

Semasa beliau berumur lebih kurang 10 tahun, keluarga beliau telah berpindah ke Kampung Kuala Mawa berhampiran Kampung Wat Padang Pusing. Tiew Ah Hock telah dihantar untuk belajar ilmu-ilmu keagamaan dengan Phrakhru Chim di Wat Tong Prok. Oleh kerana keluarga beliau menghadapi masalah kemiskinan, beliau terpaksa balik untuk membantu keluarga. Selepas itu beliau berhijrah ke Phangnga, Thailand dan menumpang di rumah emak saudaranya. Tujuan beliau berhijrah ke sana kerana ingin mencari pengalaman hidup. Lepas itu, beliau kembali ke kampung untuk membantu keluarga dengan bekerja di kedai kopi di pekan Kota Sarang Semut. Semasa beliau bekerja di kedai kopi, mata beliau mula sakit dan semakin tenat sehingga memaksa beliau berhenti bekerja di situ. Kemudiannya beliau pergi menumpang di rumah abangnya, Tiew Ah Choo di Kampung Kalai untuk merawat matanya. Semasa berada di Kampung Kalai, beliau telah bertemu jodoh dengan Nang Nui. Hasil perkahwinan dengan Nang Nui, beliau memperolehi seorang anak perempuan bernama Nang Nya. Mereka bercerai kerana masalah tertentu setelah hidup bersama lebih kurang 2-3 tahun.

Tiew Ah Hock Menjadi Sami

Walaupun beliau berusaha merawat matanya yang sakit, namun mata beliau tidak menunjukkan tanda-tanda akan sembuh. Penglihatan beliau mula kabur dan akhirnya beliau telah menjadi buta. Ada satu sumber lagi, mengatakan Phra Hock Prommasaro menjadi buta semasa berumur 30 tahun selepas 6 tahun beliau menjadi sami. Pada tahun 1927, semasa beliau berumur 24 tahun, beliau menjadi sami di Wat Kg. Tong Prok (sekarang wat Sunthornprajaram) dan Phrakhru Chim memain peranan sebagai upacha dalam proses Tiew Ah Hock menjadi sami. Ada satu sumber lagi mengatakan Phrakhru Visutsilayan, Ketua Sami Kedah merangkap Ketua Sami Wat Visutthipradittharam, Kampung Titi Akar, Kedah menjadi upacha. Selepas menjadi sami, beliau diberi gelaran Phra Hock Prommasaro. Masalah penglihatan beliau, tidak sedikit pun boleh mematah semangat beliau untuk mempelajari ilmu-ilmu keagamaan. Dengan menggunakan deria pendengaran beliau berjaya mempelajari ilmu 7 tamnan dan 12 tamnan serta ilmu Phrapatimok. Maka lengkaplah ilmu yang perlu dipelajari oleh sami-sami pada ketika itu. Beliau masih tidak puashati dengan pencapaian beliau, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Wat Thananghom, Haadyai, Thailand untuk mempelajari teknik-teknik ceramah (Thessana Mahachat).

Menjadi Ketua Sami Wat Tong Prok

Beberapa tahun kemudian Phrakhru Chim berpindah dan menjadi Ketua Sami di Wat Kampung China, Mk. Padang Kerbau. Persatuan Sami-sami Kedah telah bermesyuarat dan mengambil keputusan melantik Phra Hock Prommasaro menjadi Ketua Sami di Wat Tong Prok, mengganti Phrakhru Chim. Semasa Phra Hock Prommasaro menjadi Ketua Sami Wat Tong Prok, beliau telah menyumbangkan khidmat untuk membangunkan wat tersebut sehingga menjadi salah sebuah wat yang terkenal pada zaman itu. Keistimewaan beliau ialah beliau seorang yang berpandangan jauh tentang kepentingan pendidikan. Beliau telah membina sebuah Sekolah Agama & Bahasa Thai di Wat Kampung Tong Prok dan menjadi Sekolah Agama Dan Bahasa Thai yang pertama di negeri Kedah.

Membuka Wat Baru di Pendang.

Beliau mentadbir Wat Tong Prok sehingga berlakunya Perang Dunia ke 2. Pada masa itu puak komunis telah menyerang penduduk-penduduk Kampung Tong Prok dan ramai yang menderita kerana ditindas dengan kejam. Pihak kerajaan telah berbincang dan mengambil keputusan menutup kampung tersebut. Phra Hock Prommasaro bersama-sama sami dan sammanen dibawah jagaannya berhijrah dan membuka Wat baru di Pekan Pendang (berhampiran Sekolah Menengah Pendang) pada tahun 1952. Beliau menetap di Wat tersebut selama 5 tahun. Pada 10 Jun 1957 beliau telah meroboh samnaksong Pendang dan berhijrah serta membina wat baru di Telok Wanjah berhampiran bandar Alor Setar.

Membuka Wat Baru di Telok Wanjah

Beliau berpindah ke Telok Wanjah kerana arahan dan keputusan yang di buat oleh Persatuan Sami-sami Kedah yang dipengerusikan oleh Phrakhru Thammathada (Chum), Ketua Sami Kedah merangkap Ketua Sami Wat Thepchumnum, Kampung Naka. Sebidang tanah di situ telah dibeli oleh Persatuan Sami-sami Kedah, hasil pendapatan daripada menganjurkan Majlis Peperiksaan Phraparijattham (Ilmu keagamaan). Pada asalnya di kawasan itu berpaya dan lama terbiar sehingga air yang bertakung di situ berbau busuk. Beliau telah berusaha membangunkan tanah tersebut sehingga menjadi wat yang cantik dan dinamakan Wat Nikrodharam dan mempunyai Ubosot (both) yang tercantik sekali di Malaysia. Tambahan pula, Wat Nikrodharam dipilih menjadi pusat pentadbiran Persatuan Sami-sami Kedah dan pusat peperiksaan Phraparijattham untuk sami-sami dan sammanen setiap tahun mulai tahun 1980. Pada asalnya Pusat Peperiksaan Phraparijattham ini diadakan di Wat Samosorn Rajanukpradit (Wat Bakar Bata, Alor Setar) sehingga 1979.

Penghujung Usia Seorang Pejuang

Hasil usaha beliau dan sumbangan beliau dalam pembangunan, beliau telah dianugerahkan gelaran daripada Raja Thailand pada 5 Disember 1973 dengan bergelar "Phrakhru Sunthorn Prajanad". Pada awal bulan September 1983, Phrakhru Sunthorn Prajanad mula jatuh sakit. Beliau menghidap penyakit tua. Para murid beliau telah berusaha merawati penyakit beliau sehingga membawa beliau ke Hospital di Wilayah Narathiwat, Thailand. Akhirnya usaha mereka gagal, Phrakhru Sunthorn Prajanad menghembus nafas terakhir pada 30 September 1983 jam 11.40 pagi, hari Jumaat, di wat Nikrodharam. Ramai anak murid beliau yang datang dari setiap pelusuk tanah air semasa beliau menghembus nafas terakhir. Anak murid beliau iaitu Phrakhru Sunthorn Prajanukul (Bha) telah dilantik menjadi Ketua Sami Wat Nikrodharam yang kedua. Selepas Phrakhru Sunthorn Prajanukul meninggal dunia pada 5 Disember 1999, Phra Sanggarak Lap telah dilantik menjadi Ketua Sami yang ke 3, Wat Nikrodharam, Telok Wanjah, Jalan Stadium, Kedah. Sadhu!! Sadhu!! Sadhu!!.

 

Sumber:

  1. Buku Cenderamata di Majlis Sambutan Ulangtahun ke 80 Phrakhru Sunthorn Prajanat pada 4 - 5 Mac 1982.
  2. Buku Cenderamata Majlis Upachara Pembakaran Mayat Phrakhru Sunthorn Prajanad pada 7 - 10 Mac 1984
 
on 09-06-06
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.

Hosted by www.Geocities.ws

1