[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

Sejarah hidup Phra Acharn Reang Siyakmuni

Asal usul

Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 18 Ogos 1899 di Kampung Kura, Daerah Sik, Kedah. Nama asal beliau ialah Nai Reang. Bapanya bernama Nai Inkeow dan ibunya bernama Nang Ting. Beliau mempunyai 3 orang saudara kandung. Beliau adalah anak sulung dan menjadi anak kesayangan bapanya. Adik-adik beliau semuanya perempuan. Beliau seorang budak yang nakal semasa kecil dan sentiasa dimarahi dan dipukul oleh ibunya. Ibunya sangat letih dengan kenakalannya. Sementara bapanya sentiasa memanjakan anak kesayangannya itu. Bapanya tidak pernah membuat anaknya sakit atau kecil hati. Walaupun anaknya (Nai Reang) melakukan kesalahan, bapanya sentiasa memaafkannya.

Masuk Wat

Semasa beliau berumur 13 tahun, beliau telah lari dari rumah ke wat untuk menggelak daripada dimarah oleh ibunya. Sementara ibubapanya berasa gembira bila mendapat tahu anaknya lari ke wat dan tinggal bersama bapa saudaranya yang menjadi ketua sami di situ. Bapa saudaranya telah mengajarnya bahasa Thai dan ilmu-ilmu keagamaan di sekolah wat yang serba kekurangan. Beliau juga dilatih untuk menjadi manusia yang berguna. Akhirnya beliau berjaya belajar bahasa Thai dengan Phra Acharn Inthong (adik kepada bapanya) sehingga beliau boleh membaca dan menulis dalam bahasa Thai. Seterusnya beliau belajar ilmu 7 tamnan dan 12 tamnan sehingga pencapaiannya agak memuaskan.

Menjadi Sammanen

Semasa berumur 17 tahun, beliau jadi Sammanen di Wat Kampung Kura. Beliau menjadi Sammanen selama 1 tahun sahaja. Selepas itu, beliau keluar dari jadi Sammanen kerana beliau dilamun dalam percintaan yang menjadi kebiasaan bagi teruna dan dara. Beliau juga suka terlibat dengan kumpulan gangster (Nak Leng) dan minat dengan unsur-unsur hiburan seperti suka menyanyi dan menari. Percintaan memang manis pada peringkat awal dan kemungkinan berakhir dengan kepahitan. Beliau telah gagal dalam percintaan dan mengakibatkan beliau menghadapi tekanan dan kesengsaraan hidup. Akhirnya beliau bertekad untuk tidak akan bercinta lagi.

Menjadi Sami

Pada tahun 1920 semasa berumur 21 tahun, Nai Reang menjadi sami di Wat Kampung Kura. Beliau digelar Phra Reang Siyakmani. Selepas menjadi sami beliau menetap di Wat Kampung Kura selama 3 phansa. Beliau terpaksa berpindah bersama Phra Inthong, bapa saudaranya ke Wat Chanhom, Kampung Kubang Kesom. Tinggal Wat Chanhom selama 2 phansa, beliau berpindah balik ke Wat Kampung Kura. Sementara Phra Acharn Inthong berpindah ke Wat Padang Peliang. Phra Reang terpaksa berulang alik diantara Wat Kampung Kura dan Wat Padang Peliang untuk berjumpa gurunya yang juga bapa saudaranya. Pendidikan beliau dalam ilmu keagamaan terbantut sehingga Phra Inthong balik semula ke Wat Kampung Kura.

Menjadi Ketua Sami

Pada tahun 1935 Phra Reang menjadi Ketua Sami Wat Padang Peliang mengganti guru yang juga bapa saudaranya yang berpindah ke Wat Kampung Kura. Beliau mengambil alih tugas-tugas mengajar sami, sammanen dan budak wat supaya menjadi manusia yang berguna. Beliau berpandangan jauh tentang pendidikan. Oleh itu beliau sentiasa berusaha mengajar dan menegur murid-muridnya supaya menjadi orang yang berguna. Murid yang baik sukar dicari pada masa itu jika dibandingkan murid yang tak berpendidikan. Setiap hari asyik minum arak. Golongan ini tiada panduan dan hala tuju untuk diri mereka sendiri kerana mereka tidak percaya pada guru dan memandang rendah pada ilmu pengetahuan. Mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah. Mereka sanggup hidup dalam kemiskinan asalkan mereka puas dengan tabiat mereka itu.

Perpaduan

Phra Reang pernah mengajak orang Melayu bersama-sama penduduk Padang Peliang menebas semak untuk membuat jalan serta membina titi menyeberangi sungai. Phra Acharn Reang adalah seorang yang budiman dan sentiasa membantu tidak kira orang Melayu atau orang Thai. Orang-orang Melayu di kawasan sekitar menyanjungi dan menghormati beliau. Orang Melayu pernah meminta beras dan Phra Reang tidak pernah menolak permintaan mereka. Beliau memberi beras kepada mereka sebagai dana. Mereka puashati, asalkan dapat beras mereka sanggup memberi kerjasama dan membantu pihak wat. Mereka tidak menjadikan agama sebagai sempadan diantara Melayu dan Thai.

Hijrah

Pada awal tahun 1953, Penduduk Kampung Padang Peliang telah diserang oleh pihak komunis. Penduduk kampung hidup dalam ketakutan dan pergerakan mereka terhad. Walaupun takut mereka terpaksa keluar untuk mencari nafkah hidup untuk menyara keluarga. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah mengarahkan penduduk Kampung Padang Peliang berpindah ke perkampungan baru yang dikawal ketat oleh tentera di Kampung Padang Pusing. Tujuan kerajaan ialah untuk mengawal keselamatan penduduk kampung dan juga dapat menyekat bekalan makanan dan maklumat kepada pihak komunis. Phra Reang terpaksa membawa pengikut-pengikutnya bersama penduduk-penduduk kampung berpindah ke Kampung Padang Pusing.

Di Tempat Orang

Walaupun Phra Acharn Reang tinggal di Wat Padang Pusing, beliau tidak mengabaikan pembangunan. Beliau telah membina bangunan "Sala Karnphrian" atau Rongtham, 2 bangunan dapur dan lain-lain lagi. Pada tahun 1957, penduduk kampung telah berpindah balik ke kampung asal. Sementara Phra Acharn Reang tidak balik bersama dan terus tinggal di Wat Padang Pusing sehingga keluar dari tempoh "Phansa". Beliau terus tinggal di Padang Pusing untuk membalas budi penduduk Kampung Padang Pusing yang membenarkan beliau dan penduduk-penduduk Kampung Padang Peliang menumpang di situ. Selepas beliau keluar dari "phansa" (musim pertapaan), beliau balik ke Wat Padang Peliang. Walau bagaimana pun, beliau masih berulang-alik ke Wat Padang Pusing untuk melihat dan menjaga tempat yang beliau pernah tinggal.

Jatuh Sakit

Phra Acharn Reang balik ke Wat Padang Peliang, dan mula membaiki dan membina semula bangunan-bangunan yang telah roboh akibat lama ditinggalkan. Akhirnya beliau berjaya membina semula Wat Padang Peliang. Selepas 5 tahun berpindah balik ke Wat Padang Peliang, Phra Acharn Reang jatuh sakit. Pada tahun 1963 pertengahan tempoh "phansa", beliau menjadi lumpuh. Penduduk sedih dan bimbang dengan keadaan Phra Acharn Reang. Mereka berusaha mengubati penyakit beliau tetapi tidak mendatangkan hasil dan tiada tanda-tanda untuk sembuh. Berita Phra Acharn Reang jatuh sakit telah tersebar luas. Ramai penduduk dari dekat dan jauh datang menziarahi beliau. Penduduk Padang Peliang sentiasa menjaga beliau setiap pagi dan petang sehingga terpaksa meninggalkan pekerjaan. Sementara murid-murid, sentiasa berada di keliling beliau. Tidak pernah berniat untuk berjauhan atau keluar dari sami. Mereka sentiasa menjaga dan mengurut beliau setiap pagi dan petang. Mereka juga menetapkan giliran menjaga Phra Acharn Reang pada waktu siang dan malam.

Meninggal Dunia

Murid-murid sedih dan makan tak lalu apabila keadaan Phra Acharn Reang semakin tenat. Pada 17 Disember 1963, Phra Acharn Reang menghembus nafas terakhir di Wat Padang Peliang, jam 7.00 pagi. Kematian Phra Acharn Reang adalah satu kehilangan yang tak ternilai bagi masyarakat Thai. Rata-rata masyarakat Thai dan penganut-penganut Buddha sedih dengan pemergian Phra Acharn Reang yang tiada hari untuk pulang. Majlis pembakaran mayat Phra Acharn Reang Siyakmani diadakan di Wat Padang Peliang pada 7 Mac 1965.

Sumber: Buku Sejarah Ringkas Riwayat Hidup Phra Acharn Reang yang ditulis oleh Nai Lean dalam bentuk puisi (klon) dan dicetak pada 30 Januari 1965 di Hadyai, Thailand.

Catatan: Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan hasil penterjemahan saya ini. Saya menghadapi kesulitan dalam tugas menterjemahkan dari sumber asal kerana ditulis dalam bentuk puisi (klon) dan terdapat banyak bahasa hiasan.

Disediakan oleh: Manit Sripradit, 17 Mei 2000

on 09-06-06
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.

Hosted by www.Geocities.ws

1