TARIAN ZAPIN

Pengenalan

Zapin merupakan tarian Melayu yang berasaskan kesenian Arab-Parsi yang telah disesuaikan dengan kesenian Melayu. Zapin bermaksud 'gerak kaki' daripada perkataan al-Zafn. Tarian Zapin bercorak persembahan atau pertunjukkan. Gerak tarinya berasaskan kaki penari-penarinya. Banyak tarian Melayu ciptaan baru mengambil rentak Zapin sebagai irama tarian.

Cara Persembahan

Sebagai sebuah tarian persembahan, tarian Zapin terbahagi kepada 3 peringkat. Peringkat pertama merupakan permukaan tarian atau pembukaan tari. Peringkat kedua ialah pecahan atau gerak serta lenggang tari dan peringkat ketiga merupakan penutup tarian.

Zapin menumpukan pada langkahan kaki dengan posisi kaki selalu tertutup dan tidak merendah. Kebanyakkan posisi badan selalu bergerak seperti ombak mengalun. Posisi tangan tidak diperlihatkan secara jelas misalnya motif memetik bunga, tangan kanan mahu pun kiri berada di bawah bahu. Kebiasaannya, senikata yang dinyanyikan dalam lagu untuk tarian ini diselitkan dengan kalimat berunsur keagamaan seperti 'salam' dan 'assalamualaikum', kata-kata nasihat dan pujian kepada kebesaran agama dan kesempurnaan pekerti.

Pakaian Zapin

Sungguh pun Zapin mempunyai pengaruh Arab-Parsi, tetapi dari segi pakaian, penari-penari memakai pakaian Melayu selengkapnya iaitu bagi lelaki berkain samping dan bersongkok dan wanita memakai kurung berserta kain sarung.

Muzik

Alat muzik utama yang digunakan bagi mengiringi tarian Zapin ialah gambus, rebana, gendang dan marakas. Petikan gambus untuk membawakan lagu, sementara rentak gendang atau rebana menentukan rentak dan pecahan tari. Antara lagu Zapin ialah Lancang Kuning, Zapin Asli, Gendang Rebana dan lain-lain.
 

Hosted by www.Geocities.ws

1