Info.com

Tajuk Isu

Isu 1

Mungkinkah kematian ‘Demolition Man' mengakhiri tragedi serangan berani mati?

HUKUM karma jelas satu perkataan paling popular di Indonesia. Dalam segenap aspek kehidupan, setiap penduduk diingatkan mengenai konsep hukum karma. Penduduk Indonesia terlalu taksub dan percaya konsep hukum karma. Bagi mereka, yang baik dibalas baik, si jahat bakal memperoleh petaka.

Kerana itu, ramai rakyat Indonesia tidak terperanjat apabila tersebar berita Dr Azahari Husin – penjenayah bernilai RM38 juta (hadiah tawaran Amerika Syarikat andai dia ditahan hidup-hidup) meletupkan dirinya bersama tiga pembantu kanannya ketika dikepung 17 anggota elit polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI). Itu hukum karma buat Azahari. Dia akhirnya mati akibat bom buatannya sendiri.

Namun, apakah senario rupa bentuk keganasan di Indonesia akan berakhir sesudah perginya Azahari? Soalnya, apakah kematian `Demolition Man' (gelaran Azahari) menandakan tidak akan berlaku lagi siri letupan bunuh diri di republik itu?

Persoalan itu mudah untuk dijawab. Apa yang jelas kini, polis dan TNI berdepan satu tugasan paling getir apabila Noordin Mohamed Top berjaya meloloskan diri daripada kepungan polis yang menyerbu tempat persembunyiannya di Jalan Menjangan di Semarang, Jawa Tengah?

Kenapa perkara itu berlaku walhal polis sudah pun beberapa hari memantau dan menahan dua pembantu Noordin yang berada dalam rumah berkenaan? Ada teori nakal menjelaskan Noordin `dibenarkan' terus menghirup udara Indonesia bagi memudahkan polis menjadikannya sebagai `kambing hitam' andai berlaku letupan selepas ini.

Beberapa media di Indonesia turut melemparkan analisis kritikal mengenai Noordin. Akhbar harian terkemuka di Kalimantan , Banjarmasin Post menegaskan Noordin sebenarnya lebih berbahaya daripada Azahari. Dengan memetik kenyataan Ketua Polis Kebangsaan Indonesia, Jeneral Sutanto, Banjarmasin Post percaya Jemaah Islamiah (JI) sebenarnya tidak kehilangan seorang pemimpin.

Sutanto ketika dihubungi menerusi telefon turut mengakui Noordin lebih berbahaya daripada Azahari. “Kerana itu, kami sudah meningkatkan usaha untuk mengesan dan memburu kedudukan Noordin. Saya ingin beri jaminan, kami akan terus buru Noordin,” katanya dalam nada tegas tapi yakin.

Nah, itulah cabaran getir buat Indonesia . Itulah harga kebebasan yang diberikan kepada Noordin. Kematian Azahari bermakna polis dan TNI tidak akan berjaya mendapatkan maklumat terkini mengenai bilangan kader penyerang bunuh diri yang dilatih Demolition Man. Badan perisikan Filipina mendakwa lebih 35 penyerang bunuh diri sudah pun mendapat `ijazah' daripada Azahari.

Apa yang jelas Noordin kini akan lebih berwaspada menyusun langkah bagi memastikan rahsia semua anak buahnya tidak pecah. Bagi seseorang pelarian jenayah, konsep biar pecah di perut adalah junjungan mereka.

Akhbar harian terkemuka di Bandung , Pikiran Rakyat (PR) Khamis lalu mendakwa Noordin berada di Jepara. PR menegaskan betapa pemuda berusia 34 tahun itu yang bernilai AS$10 juta (RM37.71 juta – hadiah wang tunai ditawarkan Kerajaan Amerika Syarikat) pasti bertindak lebih ganas untuk menebus kematian Azahari.

Pendapat serupa dilontarkan Perdana Menteri Australia , John Howard yang percaya keganasan di Asia khususnya di Indonesia belum berakhir biarpun Azahari sudah terkorban. Howard menegaskan kematian Azahari hanyalah sekelumit daripada penyelesaian sebenar.

Kematian Azahari, bagi Howard, hanya kepuasan peribadi buat keluarga mangsa empat kejadian serangan letupan di Bali dan Jakarta . Tetapi rakan baik Presiden Amerika Syarikat, George W Bush itu percaya, JI tetap menjadi ancaman berbahaya untuk seluruh dunia khususnya negara di benua Asia .

Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Pengajian Antarabangsa (Centepis) UTM, Prof Madya Dr Azmi Hassan turut menegaskan JI tidak akan lumpuh sekalipun Azahari yang dipertanggungjawabkan ke atas empat letupan di Indonesia termasuk serangan terbaru di Jimbaran, Bali awal bulan lalu. Setakat ini, fakta perisikan polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) menyebut Azahari bertanggungjawab mengorbankan 225 nyawa.

Azmi percaya Azahari hanya komponen kecil dalam kitaran kuasa JI. “Saya mengenali Azahari sejak dulu. Saya percaya Azahari mungkin sudah melatih ramai pembuat bom. Dia seorang yang gemar berkongsi pengetahuan. Tidak hairan kalau ada antara mereka mungkin lebih hebat daripada Azahari.

“Oleh itu, saya percaya tanpa Azahari, Jemaah Islamiah akan terus bergerak aktif. Sukar untuk membuat rumusan bahawa kematian Azahari akan melumpuhkan kegiatan Jemaah Islamiah. Apatah lagi Noordin berjaya meloloskan diri daripada ditahan polis Indonesia ,” kata Azmi di Kuala Lumpur minggu lalu.

Kenyataan Azmi itu kembali mengingatkan dunia antarabangsa betapa Azahari adalah pelatih pembuat bom dan individu tertentu untuk menjayakan `drama letupan serangan bunuh diri' yang tiada tolok bandingannya.

Bertitik tolak daripada segenap rumusan di Indonesia , adalah wajar untuk membuat rumusan awal betapa keganasan masih menjadi satu ancaman terbesar buat republik itu. Biarpun Presiden Susilo Bambang Yudhoyono khabarnya gembira dengan kejayaan polis dan TNI itu, namun ia meninggalkan satu hadiah kenangan pahit apabila gagal menahan Noordin hidup-hidup.

Itulah harga kegagalan yang perlu dibayar oleh polis dan TNI. Mereka perlu akur betapa Noordin yang dikatakan menikahi seorang gadis Semarang beberapa minggu lalu adalah pemegang watak utama dalam plot drama ciptaan Ajahari (nama panggilan Azahari di kalangan penduduk Jawa).

Tatkala Azahari sibuk memikirkan kandungan bom untuk diledakkan dalam serangan bunuh diri, Noordin berkelana di serata Indonesia dan mungkin Asia Tenggara mencari insan yang sudi untuk meletupkan dirinya. Kejayaan Noordin meyakinkan mereka untuk meletupkan diri sebenarnya adalah satu resipi yang begitu hebat.

Kecuali di bumi Palestin yang sejak sekian lama terdedah kepada budaya serangan bunuh diri, siapakah di antara kita di rantau Asia Tenggara kepingin membenarkan nyawa mereka dicabut menerusi kekuatan bahan letupan. Di sinilah letaknya kekuatan atau kehebatan Noordin.

“Noordin adalah kunci sebenar dalam plot drama Azahari,” akui Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia , Mick Keelty. Itulah nilai sebenar Noordin. Selama ini, dia dianggap pembantu kanan Azahari tetapi jalan cerita sebenar menzahirkan betapa Noordin sebenarnya adalah tunjang dalam konteks kumpulan pengganas di Asia .

home!!!

Logo Design
Hit Counter


View My Guestbook
Sign My Guestbook

Hosted by www.Geocities.ws

1